Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilaporkan telah membuat serbuan ke rumah ketua pembangkang Hamzah Zainudin di Damansara, Kuala Lumpur.
Ketika dihubungi, sumber yang dekat dengan kepimpinan Bersatu mengesahkan serbuan itu.
Ya, ia (serbuan) dibuat semalam," kata sumber kepada Malaysiakini.
Terdahulu, laporan The Star dan Free Malaysia Today memetik sumber sebagai mendakwa LHDN telah menyerbu kediaman ahli parlimen Larut itu.
The Star melaporkan serbuan diadakan pada pagi semalam, sementara laporan Free Malaysia Today menyatakan ia dibuat malam semalam.
Menurut laporan The Star, serbuan dibuat ekoran "dakwaan cukai pendapatan yang tak dilaporkan".
Menurut The Star, sumber mendakwa yang Hamzah berada di rumah ketika serbuan dan fail serta dokumen berkaitan akaun dan pemilikan aset telah dirampas.
Sumber yang dekat dengan Hamzah dipetik berkata ia merupakan "tindakan bermotifkan politik oleh pihak berkuasa" memandangkan pemimpin Bersatu itu sentiasa merekodkan cukainya.
“LHDN tidak menyatakan secara terperinci sebab serbuan sama ada berkaitan cukai melibatkan syarikat atau projek tertentu atau tidak.
"Hamzah masih menunggu dokumen dari LHDN," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Bersatu dan pemimpin Bersatu untuk mendapatkan pengesahan dan komen berhubung perkara ini.