Saya masih ingat beberapa tahun yang sudah–seorang penganalisis politik berkata:
“Jika nak tengok macam mana Anwar memerintah, lihatlah Abim!”
Abim merujuk kepada Angkatan Belia Islam Malaysia. Abim adalah sebuah gerakan Islam yang sinonim dengan perjuangan Anwar Ibrahim. Ada juga yang menggelarnya sebagai Anwar Bin Ibrahim Movement (Abim).
PMX ada satu kelebihan berbanding pemimpin politik lain di Malaysia. Dia juara berpidato dan ideolog. Tak ramai–malahan hampir tak ada pemimpin ‘ideolog’ yang kuat untuk menjadi saingan terhadap PMX.
Tetapi satu kelebihan lain yang ada pada PMX adalah organisasi yang kita kenali hari ini sebagai Abim. Abim adalah ‘buah fikir’ Anwar Ibrahim. Tanpa Abim, tak ada lah kerajaan Madani.
Soalannya dari mana datangnya idea kerajaan Madani?
Jika kita lihat sebelum pilihan raya umum ke-15, slogan Madani tidak begitu kelihatan. Nama ‘Madani’ itu sendiri tidak wujud dengan jelas dan kelihatan di dalam mana-mana manifesto, kempen mahupun laman web PKR. Pelik–nama Madani cuma muncul hanya beberapa bulan sebelum pembentukan kerajaan Perpaduan PH-BN. Itu pun tidak berapa ketara.
Kenapa tiba-tiba kedengaran slogan Madani ini diangkat menjadi tema utama kerajaan pimpinan PMX?
Kerajaan Madani adalah idea Anwar Ibrahim yang sebenarnya didokong dan diperjuangkan oleh Abim menerusi agenda ‘Masyarakat Madani’. Jangan salah faham. Bukan bermakna ini kerja Abim bukan PMX. Sebenarnya agenda Abim dan PMX adalah sama.
Jika kita semak, perkataan ‘Masyarakat Madani’ begitu diangkat dengan jelas oleh Abim. Malah, jelas tertera perkataan tersebut dalam laman web Abim. Semakan terkini terhadap laman web rasmi PKR juga tidak menunjukkan sebarang slogan ‘Madani’ di muka utama.
Madani dan Abim
Masyarakat Madani adalah suatu usaha untuk mengembalikan pengaruh Melayu dan Islam di atas pentas politik Malaysia–cuma bezanya versi Islam Madani adalah antitesis kepada Islam versi PAS yang dianggap keras berhaluan kanan. Madani pula Islam versi kosmopolitan yang boleh menerima kepelbagaian ‘katanya’.
Soalan siapa lebih Islam itu tidak muncul sebenarnya. Jika kita lihat sejarah Abim dan PAS, tidak ada beza yang ketara kecuali cara mereka berpakaian. Adakah Abim lebih terbuka untuk menerima perbezaan mazhab? Tidak juga.
Adakah Abim bersuara tentang penguatkuasaan KDN sebagai polis moral yang melakukan intimidasi terhadap penjual buku di PBAKL? Adakah Abim menolak pengharaman buku di Malaysia? Tidak juga.
Kita boleh semak kembali hubungan istimewa PMX dan Abim sejak tahun penubuhan 1971. Abim adalah wadah perjuangan PMX. Malah, dasar Islamisasi yang diperkenalkan sewaktu PMX kali pertama di dalam kerajaan adalah sebahagian daripada perjuangan Abim.
PMX tahu bahawa dia tidak boleh mengharapkan PKR untuk faham apa yang dia perjuangan. Umum tahu betapa dekatnya PMX dengan Abim, malah menurut berapa ‘pimpinan’, PMX dilihat lebih akrab dengan pimpinan Abim berbanding pimpinan partinya sendiri.
Pertama, PKR adalah parti politik. Sesiapa sahaja termasuk dirinya boleh dicabar dan dijatuhkan. PMX memerlukan suatu gerakan yang akan setia tidak berbelah bahagi kepada dirinya. Abim adalah jawapan terhadap kegusaran politik PMX. Ramai juga tahu bahawa wujud feksyen di dalam PKR yang tidak senang dengan dominasi Abim dalam parti, apatah lagi berada di dalam kerajaan.
Contohnya mengenai perlantikan Fadhlina Sidek sebagai menteri pendidikan yang umumnya tahu merupakan anak kepada bekas pimpinan kanan Abim, almarhum Sidek Fadzil. Pelantikan beliau merupakan ‘signal’ besar bahawa dominasi Abim dalam kerajaan. Abim memerlukan ‘orang dia’ dalam Kementerian Pendidikan supaya ‘Islam’ versi Abim ini dapat diterapkan masuk ke dalam sekolah.
Lantikan ini dianggap luar daripada kebiasaan. Bagaimana seorang pemimpin muda diberikan portfolio kanan dalam kabinet. Secara tradisinya, menteri pendidikan adalah jawatan kabinet diisi oleh ahli politik senior yang bakal menjadi timbalan perdana menteri kelak?
Keistimewaan apa yang ada pada Fadhlina kalau bukan kerana kedekatannya dengan pimpinan Abim?
Bagaimana Abim menjadi terlalu dominan dan terkehadapan dalam kerajaan Madani walaupun ia cuma sebuah gerakan NGO–bukan parti politik. Kenapa?
Fellow traveller (orang kita)
Pemimpin kanan kesatuan Soviet yang terbuang, Leon Trotsky pernah mengungkapkan suatu istilah yang menjadi rujukan dalam kamus politik abad ke 19. Istilah tersebut merujuk kepada ‘Fellow Traveller’ yang bermaksud ‘they who travel in the same path’.
Fellow Traveler merujuk kepada mereka yang simpati/mendokong agenda politik individu atau organisasi tertentu tanpa mendaftarkan diri mereka sebagai ahli parti. Kelompok ini menyokong dan menggerakkan sesuatu usaha politik di belakang tabir–secara senyap-senyap.
Istilah ‘Fellow Traveller’ ini sekali lagi menjadi kontroversi ‘Orwell List’ setelah penulis Inggeris, George Orwell–di akhir-akhir hayatnya diminta kerajaan British untuk mengenal pasti penulis dan intelektual fellow traveller – mereka yang disyaki ejen kepada pertubuhan rahsia, Parti Komunis British yang tidak pernah diketahui umum.
Fellow Traveller tidak mahu kelihatan sebagai muka hadapan. Tetapi sebaliknya, mereka adalah golongan yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap sesuatu keputusan yang dibuat oleh pimpinan.
Fellow Traveller ini wujud dalam mana-mana organisasi. Mereka ada dalam parti lawan, syarikat korporat, anggota tinggi pentadbiran dan gerakan ‘Islam’ yang menjadi muka hadapan terhadap agenda Madani.
Begitu juga pimpinan ‘kanan’ Abim. Tidak semua yang masuk bertanding dan mendaftarkan diri dalam politik. Sebahagian besar mereka kekal tanpa wajah. Tidak ramai yang kenal siapa ‘inner circle’ mereka. Namun, mereka ada di mana-mana dan mereka amat dekat dengan pusat kekuasaan.
Mereka inilah yang mencipta slogan ‘Madani’ dan bertanggungjawab menyusun agenda kerajaan Madani.
Apa yang akan jadi apabila Abim begitu berkuasa dalam kerajaan? Adakah mereka akan membelakangkan sebarang keputusan pimpinan-pimpinan yang lain? Apa kelebihan yang mereka akan dapat dengan adanya PMX sebagai perdana menteri dalam kerajaan Perpaduan?
Perkara-perkara ini menimbulkan banyak persoalan yang masih belum dapat dijawab.
MUHAMMAD NAZREEN adalah seorang peminat sejarah yang mengikuti rapat perkembangan politik tanahair. Beliau kini bermastautin di Timur Tengah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.