Proses pengampunan untuk Najib Razak kini tidak lagi melibatkan prosedur undang-undang, kata Azalina Othman, sebaliknya terserah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu lagi, dalam keadaan sekarang tidak ada sesiapa boleh memaksa agar Najib diberikan pengampunan diraja.
“Saya rasa bab itu (pengampunan diraja), apa pun ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Sekarang ini tidak ada prosedur undang- undang, sekarang adalah (terserah) budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
"Jadi, kita tidak boleh paksa, biar Yang di-Pertuan Agong yang buat keputusan kalau mahu mengkaji.
“Kita (Umno) sudah tidak terlibat,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Azalina yang juga Ketua Penerangan Umno berkata demikian sebagai mengulas pandangan peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang berpendapat Umno tidak boleh memfailkan permohonan pengampunan bagi pihak Najib.
Haniff sebelum ini dilaporkan berkata mengikut Peraturan 113, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, petisyen pengampunan itu hanya boleh dilakukan oleh Najib sendiri, ahli keluarga atau peguam yang dilantik oleh bekas perdana menteri itu, dan Jabatan Penjara.
Maklumat sahih kes tuntutan Sulu
Bagaimanapun, katanya, Umno boleh memfailkan surat, petisyen atau kenyataan sokongan ditandatangani ahli-ahlinya kepada Agong untuk menyokong permohonan Najib.
Terdahulu Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan berkata, majlis kerja tertinggi (MKT) parti itu menerima memorandum daripada 191 bahagian untuk memohon kepemimpinan tertinggi membela bekas presiden mereka yang disifatkan banyak berjasa kepada rakyat dan negara.
MKT Umno juga sebulat suara bersetuju memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Agong berserta memorandum ditandatangani oleh seluruh kepemimpinan Umno dari 191 bahagian.
Terdahulu Azalina hari ini melancarkan laman sesawang Malaysia-Sulu Case yang mengandungi maklumat berkaitan sejarah serta perkembangan semasa mengenai tuntutan kumpulan Sulu ke atas wilayah negara ini.
Azalina berkata usaha tersebut dijalankan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Kementerian Luar Negara, dan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi memberikan fakta yang sahih, sekali gus menangkis tohmahan pihak yang membuat tuntutan berkenaan.
Pada masa sama katanya rakyat negara ini serta masyarakat antarabangsa boleh mengikuti perkembangan kes berkenaan secara telus dan benar.
Laman sesawang Malaysia-Sulu Case turut boleh diakses dalam lima bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tagalog, Perancis dan Sepanyol.
“Laman sesawang ini akan sentiasa diperkemas dan ditambah maklumat, dokumen dan pelbagai lagi dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan kes ini.
“Saya berharap warga media dan rakyat Malaysia khususnya akan mengakses serta mengikuti kes ini dengan teliti mengikut laman sesawang rasmi Malaysia kerana pelaporan dan sebaran maklumat yang tidak benar atau tidak tepat akan mempunyai kesan besar dan serius kepada kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia,” katanya.
Pada Feb tahun lalu, agensi berita di Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr Gondoza Stampa, mengarahkan Putrajaya membayar pampasan sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu.
Malaysia didakwa tidak membayar pampasan berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan ia dikatakan melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.