Seorang ahli parlimen DAP menasihati MCA agar tidak bertindak seperti sekutu PN dengan menyerang kerajaan.
Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui mengulas kritikan MCA terhadap Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying kerana tidak menyediakan jawapan untuk soalan yang dikemukakan ketika sidang Dewan Rakyat semalam.
"PN sudah dijangka akan mengambil kesempatan daripada situasi itu, tetapi apa yang mengejutkan MCA, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan, menyerang Lim habis-habisan, diketuai timbalan presiden Mah Hang Soon dan setiausaha agung pemuda Daniel Wa Wai How.
"Serangan mereka malah lebih kuat daripada PN.
"MCA tidak sepatutnya bertindak seolah-olah sebahagian daripada kerajaan perpaduan tetapi setia kepada Bersatu dan PAS," kata Chow dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan yang Dipertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor menegur Lim kerana tidak dapat memberikan jawapan kepada soalan Ahmad marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkenaan program rancangan makanan tambahan (RMT).
Ia merupakan salah satu soalan lisan yang dihantar ahli parlimen sepuluh hari sebelum sidang Dewan Rakyat bermula. Kementerian biasanya telah menyediakan jawapan untuk soalan-soalan ini.
Pada masa sama, soalan itu juga ditanya selepas sesi soal jawab dijadualkan tamat.
Mengulas perkara itu, Mah menyindir Lim dengan menyamakan prestasi parlimennya dengan "seorang pelajar yang datang ke sekolah untuk peperiksaan lisan dan mengakui mereka tidak membuat kerja rumah".
Wa pula berkata gaji Lim sepatutnya dipotong RM10 - membangkitkan DAP juga pernah mengusulkan potongan gaji daripada menteri kabinet.
Chow bagaimanapun berkata Lim dan pasukannya telah memohon maaf atas perkara itu.
"Tiada siapa yang sempurna. Mengakui kesilapan dan membetulkannya adalah nilai murni.
"Sebagai seorang yang pertama kali menjadi timbalan menteri, dia perlu biasakan diri dengan banyak prosedur dan peraturan parlimen. Pasukan Lim sepatutnya diberi peluang kedua," katanya lagi.
Katanya lagi, jika Mah ingin menjadi lantang, ada isu lain yang boleh menjadi perhatiannya.
"Berbanding menyerang DAP, dia boleh membalas kenyataan ekstrem PN berkenaan program Jom Ziarah atau komen yang dibuat Ketua Serikandi Bersatu Rina Harun berkenaan penutupan sekolah vernakular," katanya lagi.