Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan polis pada Muhyiddin: PM bertindak zalim, kata LFL
Diterbitkan:  Mar 15, 2023 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Lawyers for Liberty (LFL) mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas dakwaan Muhyiddin Yassin melakukan fitnah jenayah, yang merupakan kesalahan yang membawa hukuman penjara.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata tindakan itu memberi kesan kepada amalan menyuarakan kritikan yang sah terhadap kerajaan.

Dia berkata Anwar sepatutnya menggunakan mahkamah sivil untuk membersihkan namanya daripada dakwaan Muhyiddin.

"LFL berpandangan laporan polis yang dibuat setiausaha politik perdana menteri sebagai mengejutkan dan tidak demokratik. Jelas, laporan itu tidak boleh dibuat tanpa kebenaran Anwar.

"Tujuan laporan itu jelas untuk menutup kritikan terhadap Anwar oleh Muhyiddin dan mungkin orang lain juga yang ingin mengkritiknya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Isnin lalu, Muhammad Kamil Abdul Munim, setiausaha politik Anwar di Kementerian Kewangan, membuat laporan polis terhadap Muhyiddin atas dakwaan membuat kenyataan fitnah terhadap Anwar.

Laporan itu berkaitan dakwaan Muhyiddin bahawa dia menjadi mangsa pendakwaan politik dan salah guna kuasa kerajaan, berkaitan pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram terhadapnya.

Menurut Zaid, tindakan perdana menteri atau mana-mana menteri menggunakan jentera kerajaan untuk menghalang sebarang kritikan yang "mewujudkan persepsi negatif" - seperti yang disebut Muhammad Kamil - adalah "zalim, tidak mengikut undang-undang dan bertentangan dengan perlembagaan".

Jika perdana menteri atau mana-mana pihak dalam kerajaan merasakan dirinya difitnah, jalan yang betul adalah membawanya ke mahkamah, kata Zaid.

"Adakah Anwar telah lupa ketika era Najib Razak, PH yang menjadi pembangkan ketika itu berdepan dengan siasatan sama kerana mengkritik Najib?

"Adakah Anwar dan gabungan politiknya tidak belajar apa-apa daripada tekanan yang mereka hadapi?"

Dia berkata laporan polis itu mewujudkan duluan yang bahaya kerana tindakan sama boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan, seterusnya menjadikan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan sebagai tidak bermakna.

"Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa tugas polis bukan untuk melindungi imej atau reputasi perdana menteri mahupun kerajaan pimpinannya. Tugas mereka adalah melindungi orang awam daripada jenayah dan menjaga ketenteraman awam.

"Kerajaan yang matang dan demokratik menjawab kritikan secara terbuka, bukan cuba memenjarakan pengkritik mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS