Paling Popular
Terkini

Di tengah-tengah tuduhan pembangkang terhadap kerajaan yang disifatkan zalim dan mengamalkan pendakwaan terpilih, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertanya sama ada mereka yang membuat tuduhan itu mempunyai bukti dakwaan mereka atau tidak.

“Jangan gunakan al-Quran hukum saya (sebagai) zalim dan campur tangan. Saya nak beritahu pimpinan di sana. Saudara kena ingat sebagai orang Muslim bertanggungjawab, adakah saudara yakin, ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa?

"Kalau tidak, zalim jawabnya. Guna agama dan fitnah orang. Sebut nama saya. Saya tidak campur tangan, boleh tanya SPRM dan peguam negara.

"Tanya ketua hakim negara, bila saya campur tangan, minta dikurangkan atau ditarik balik tuduhan,” kata Anwar semasa Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Perikatan Nasional-Pasir Mas) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk mengambil tindakan lanjut terhadap potensi rasuah dalam projek yang diluluskan sebelum pilihan raya umum lalu.

Ahmad Fadhli Shaari

Walaupun Ahmad Fadhli tidak menyebut pendakwaan terpilih dalam soalannya, Anwar berkata dia akan mengambil kesempatan itu untuk menjawab tuduhan terhadapnya.

Anwar berkata adalah perkara biasa untuk mengkritik dalam politik, tetapi sebagai perdana menteri, dia tidak akan mengkhianati amanah yang diberikan kepadanya.

"Malah arahan kepada mereka (SPRM), saya kata apa, tunggu peguam negara (putuskan pendakwaan). Saya kata apapun tindakan berdasarkan fakta dan bukti kuat, saya sokong.

"Tapi jangan aniayai, jangan ada satu alasan yang longgar yang boleh dicabar dan dipertikai," kata Anwar.

Siasatan LCS

Semasa soalannya, Ahmad Fadhli turut menekankan skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) - kes yang dikaitkan dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar berkata dia mengarahkan SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) meneliti semua projek yang dikatakan melibatkan rasuah, termasuk projek LCS, tanpa mengira kaitan dengan mana-mana pihak.

Dia bersetuju bahawa tindakan awal yang diambil ke atas projek LCS tidak mencukupi dan perlu ada siasatan menyeluruh.

“Jawapan yang diberikan SPRM ialah mereka akan meneruskan peringkat kedua tetapi bukan urusan saya untuk bertanya lebih lanjut.

“Jika saya lakukan, mungkin terdapat lebih banyak tuduhan pendakwaan terpilih. Tetapi saya menegaskan di sini di Parlimen bahawa siasatan mesti diteruskan termasuk projek LCS kerana tindakan awal tidak cukup untuk mendedahkan dan bertindak ke atas orang utama yang terlibat.

"Jadi biarkan siasatan diteruskan," kata perdana menteri.

Anwar juga menegaskan bahawa kes rasuah sedia ada terhadap Zahid masih berjalan.

Pemimpin Perikatan Nasional (PN) menuduh Anwar menindas dan mengamalkan pendakwaan terpilih sejak Pengerusi PN Muhyiddin Yassin didakwa atas tuduhan rasuah pada Jumaat.

Pemimpin PN lain turut didakwa atas tuduhan rasuah membabitkan program Jana Wibawa era Muhyiddin, termasuk bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Selepas Muhyiddin pertama kali didakwa atas tuduhan rasuah Jumaat lalu, Wan Saiful memberi amaran bahawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang mungkin akan menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Sebelum ini dilaporkan Abdul Hadi sedang disiasat berhubung kenyataannya yang mendakwa PN cuba menjatuhkan kerajaan.

SPRM dan AGC sejak itu mengeluarkan kenyataan berasingan menafikan terdapat sebarang campur tangan dalam siasatan berkaitan program Jana Wibawa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS