mk-logo
Berita
LFL: Hipokrit jika tumpang kemenangan Yeoh tapi tindas penerbit tempatan
Diterbitkan:  Mar 14, 2023 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek menyifatkan tindakan kerajaan memuji bintang Hollywood kelahiran Ipoh, Perak selepas memenangi Oscar dan pada masa yang sama "menganiaya" penerbit dan pelakon filem tempatan sebagai "hipokrit".

Zaid berkata demikian sebagai mengulas siasatan polis terhadap filem indie Mentega Terbang.

"Kami merujuk kepada pujian yang diberikan perdana menteri dan pemimpin kerajaan yang lain kepada Yeoh atas kemenangan bersejarah Oscar untuk pelakon wanita terbaik bagi filem Everything, Everywhere, All at Once.

“Adalah hipokrit, tidak ikhlas dan bercanggah bagi pemimpin kerajaan dan Finas untuk mencurahkan pujian atas kemenangan Yeoh, manakala penerbit dan pelakon filem tempatan yang bekerja keras dikenakan gangguan dan siasatan jenayah berhubung kandungan filem mereka,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Zaid Malek

Polis setakat ini telah memanggil pengarah Mentega Terbang Mohd Khairy Anwar Jailani untuk disoal siasat berhubung filem itu, yang disifatkan bertentangan dengan akidah Islam.

Hari ini, polis dijangka merakam kenyataan penerbit dan pelakon filem itu, pada pukul 1 tengah hari di Bukit Aman.

Zaid berkata filem Everything, Everywhere, All at Once mengandungi tema LGBT dan Yeoh sendiri akan diheret untuk disoal siasat polis jika filem itu dibuat di Malaysia.

"Untuk kerajaan sekarang tumpang kemenangan cemerlang Oscar Yeoh adalah sesuatu yang tidak menyenangkan dan ironi. Adakah kerajaan kini akan menarik balik atau menyesali tindakan menindasnya terhadap filem terbitan tempatan Pulau dan Mentega Terbang?

"Adakah mereka sekurang-kurangnya sekarang berhenti akur pada kepolisan moral para fanatik dan memberi penerbit filem kita kebebasan artistik untuk mencipta filem yang hebat?" soal Zaid.

Zaid mendakwa dengan siasatan terhadap "Mentega Terbang", kerajaan yang dianggotai Pakatan Harapan (PH) telah menunjukkan bahawa ia "tidak berbeza" dengan kerajaan terdahulu dalam mengenakan penapisan berlebihan terhadap filem tempatan.

“Seni, dalam apa jua bentuk atau rupa, dilindungi di bawah kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi ekspresi artistik tersebut dan tidak memberi laluan kepada sesetengah pihak untuk menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dihasilkan.

"Apabila itu adalah ukuran penapisan, skala akan sangat memihak kepada majoriti yang dilihat mengorbankan minoriti, membawa kepada pemadaman sepenuhnya realiti yang ingin diberitahu oleh kumpulan minoriti melalui medium seni pilihan mereka," katanya.

Tambah Zaid, sekiranya kerajaan ingin menikmati kegemilangan artis Malaysia di luar negara, ia mesti melindungi produk tempatan terlebih dahulu dengan mempertahankan hak mereka yang dilindungi di bawah perlembagaan.

“Langkah pertama ke arah yang betul dalam hal itu ialah menghentikan serta-merta siasatan yang sedang dijalankan terhadap semua yang terlibat dalam filem Mentega Terbang dan berhenti menggunakan pihak berkuasa untuk mengganggu pembikin filem dan artis tempatan lain untuk seni mereka pada masa hadapan.

"Hanya selepas itu filem dan seni tempatan boleh benar-benar berkembang dan kerajaan berhak untuk berkongsi kejayaan dalam pencapaian pelakon atau pembikin filem Malaysia," katanya.

Mentega Terbang bukanlah satu-satunya filem tempatan yang berada di bawah radar pihak berkuasa tempatan sejak kebelakangan ini.

Filem seram Pulau, arahan Euho, sebelum ini mengundang pelbagai kecaman susulan adegan yang terkandung dalam trelernya, malah filem itu dilarang ditayangkan di Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS