Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'DUN P Pinang salah guna kuasa majoriti jika singkir 4 Adun Bersatu'
Diterbitkan:  Mar 6, 2023 12:44 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Usul pengosongan kerusi yang dipegang empat wakil rakyat PN di DUN Pulau Pinang tidak terpakai untuk Adun Bersatu, menurut ketua penerangan parti itu Razali Idris.

Razali berkata ini kerana dua daripada Adun tersebut menang dalam PRU 2018 ketika menganggotai Bersatu dan kekal dalam parti itu sehingga kini.

Berkenaan dua lagi Adun yang menang ketika bersama PKR, Razali mendakwa DUN bertindak secara terpilih demi kepentingan politik.

Dia mendakwa mereka disingkir hanya kerana "tidak disukai" presiden parti, Anwar Ibrahim.

"DUN Pulau Pinang di bawah pimpinan PH-BN hanya akan menyalahgunakan kuasa majoritinya untuk menyingkir Adun yang telah dipilih secara sah tanpa sebarang alasan kukuh kerana mereka hanya mahu melemahkan Bersatu menjelang PRN Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razali mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bahawa DUN akan membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi empat Adun PN, iaitu Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang), hari ini.

Mereka bertanding dalam PRU 2018 ketika bersama PH. Sementara Khaliq dan Zolkifly memang merupakan anggota Bersatu, Afif dan Zulkifli bersama PKR sebelum menyertai parti pada 2020 susulan Langkah Sheraton.

Zulkifli dipecat daripada PKR manakala Afif memutuskan untuk keluar parti selepas keahliannya digantung.

Menurut Chow, usul itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan Perkara 14A perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS