Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tambang bas PJ untuk warga asing bukan diskriminasi - Adun

Beberapa Adun Selangor mempertahankan tambang yang diperkenalkan kepada warga asing bagi perkhidmatan Bas PJ City di Petaling Jaya selepas pengkritik mendakwa dasar itu bersifat diskriminasi.

Adun Kinrara Ng Sze Han memberitahu Malaysiakini bahawa tambang yang dilaksanakan itu bertujuan memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia, sama seperti bagaimana sekolah dan hospital kerajaan beroperasi.

“Kami tidak pernah menghalang warga asing menggunakan perkhidmatan itu. Ini sama seperti sekolah dan hospital apabila warga asing dikehendaki membayar yuran minimum untuk perkhidmatan (disediakan),” katanya.

Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin turut berkongsi sentimen Ng, sambil menjelaskan tambang itu sepatutnya dilaksanakan beberapa minggu sebelum wabak Covid-19 menular pada 2020, tetapi tertangguh.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung enggan mengulas buat masa ini.

Dia memberitahu Malaysiakini bahawa dia bersedia untuk bertemu Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir "secepat mungkin" untuk membincangkan perkara itu dan tidak akan mengulas sehingga pertemuan berlangsung.

Minggu lalu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya mengumumkan melalui catatan Facebook bahawa mulai 15 Jan, caj RM0.90 akan dikenakan kepada warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas itu. Warganegara Malaysia masih boleh menggunakan perkhidmatan tersebut secara percuma.

Majlis menyatakan semua penumpang Bas PJ City yang berumur antara 18 dan 59 tahun perlu mengimbas kod QR melalui aplikasi CEPat e-pembayaran Warganegara.

Penumpang di bawah umur 18 tahun atau di atas 60 tahun, bagaimanapun, dikehendaki menunjukkan kad pengenalan atau pasport mereka.

Dakwaan diskriminasi terhadap kelas pekerja migran dibangkitkan pengarah NGO hak migran Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira pada ciapan di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre Azrul Khalib juga membuat hantaran di media sosial untuk mengecam pengenaan tambang itu yang disifatkannya "tidak wajar, remeh dan tidak adil", dengan mendakwa ia hanya mengambil wang daripada kumpulan rentan.

“Pekerja asing menyumbang kepada ekonomi Selangor, sama seperti rakyat Malaysia, dan merupakan tulang belakang (ekonomi).

"RM30,000 bukanlah jumlah yang besar kepada kerajaan negeri tetapi ia mengambil wang daripada orang yang rentan," katanya pada ciapan di Twitter.

Pegawai khas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Jay Jay Denis sebelum ini memberitahu The Vibes bahawa MBPJ tidak cuba mengaut keuntungan daripada tambang yang dikenakan.

Katanya, ini kerana hasil kutipan tambang itu tidak pun dapat menampung kos yang dibelanjakan untuk perkhidmatan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS