Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ronald kemuka ‘bukti’ dakwa wakil rakyat GRS ahli Bersatu
Diterbitkan:  Dec 19, 2022 5:55 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee mendakwa empat anggota parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang sebelum ini mendakwa mereka telah keluar Bersatu secara diam-diam sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan telah menyertai GRS sebenarnya masih adalah ahli parti itu.

Ronald Kiandee (PN-Beluran) pada perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini, membacakan surat yang dikatakan daripada Bersatu Sabah kepada Muhyiddin Yassin sebelum pilihan raya umum.

Surat itu memaklumkan bahawa enam calonnya akan bertanding bawah lambang Gabungan Rakyat Sabah.

Perkara itu, katanya, membuktikan bahawa anggota parlimen GRS adalah calon Bersatu.

Sehubungan itu, dia mencadangkan supaya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ditangguhkan selama 21 hari.

Katanya, penangguhan itu penting disebabkan status empat ahli Parlimen GRS yang menyokong kerajaan, dipertikaikan.

"Perbezaan kedudukan yang berlaku hari ini, adalah lazimnya sebelum ini (tiada masalah) tetapi dengan akta antilompat parti, maka perbezaan ini mesti diperjelaskan.

"Ini membawa kepada keabsahan kedudukan Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar) dalam proses undi percaya kerana kedudukan empat Ahli Parlimen ini dipertikaikan disebabkan akta antilompat parti," katanya membahas usul undi percaya terhadap Anwar.

Ronald dilantik sebagai ketua Bersatu Sabah 11 Dis lalu selepas Ketua Menteri Sabah,  Hajiji Noor bersama Adun Sabah dan empat ahli parlimen Bersatu Sabah mengumumkan "keluar" Bersatu.

Empat ahli parlimen berkenaan bertanding di bawah tiket GRS, berbeza dengan Ronald yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, timbul pertikaian yang mendakwa empat ahli parlimen berkenaan - Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang) - melanggar undang-undang antilompat parti.

Bagaimanapun, mereka kemudian mendakwa sudah menyertai GRS sebelum PRU lagi. GRS terdaftar di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebagai parti politik, meskipun merupakan gabungan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS