Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Operasi tapak perkhemahan di Pahang dihentikan serta-merta

Semua tapak perkhemahan di Pahang yang menawarkan perkhidmatan kepada orang awam sudah diarahkan menghentikan operasi mereka serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan membabitkan tapak dikendalikan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan pihak swasta.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Mohd Hizamri Mohd Yassin berkata, tujuh lokasi taman eko rimba (TER) kendalian jabatan itu sudah ditutup kepada orang awam sejak 1 November lalu.

"Kawasan tapak khemah tumpuan orang awam dalam kawasan taman eko rimba diuruskan jabatan sudah ditutup sementara sejak 1 November sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Penutupan itu membabitkan TER Chamang dan Lentang di Bentong, TER Sungai Pauh, Cameron Highlands, TER Jerangkang, Kuantan, TER Lata Berembun dan Lata Lembik di Raub dan TER Gunung Senyum di Temerloh.

"Sementara itu, dua kawasan TER yang dikendalikan pihak swasta dan mempunyai tapak perkhemahan iaitu Parit Falls, Cameron Highlands dan Lubuk Yu, Maran juga diarahkan ditutup serta-merta bermula hari ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, Pahang.

Mohd Hizamri turut memaklumkan arahan penutupan itu juga terpakai kepada semua tapak perkhemahan dalam kawasan hutan simpan di Pahang.

Berdasarkan rekod, terdapat 26 TER dan taman hutan negeri di seluruh Pahang.

Dengan arahan penutupan itu bermakna tidak ada sebarang permit akan dikeluarkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang bagi aktiviti riadah dalam kawasan terbabit.

Orang ramai yang memasuki kawasan hutan simpan kekal tanpa permit untuk tujuan beriadah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh.

Sementara itu, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man ketika dihubungi memaklumkan kebanyakan tapak perkhemahan disediakan kepada orang awam di Pahang dikendalikan sama ada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihak berkuasa tempatan.

"Secara umumnya permit untuk (operasi) tapak perkhemahan ini bukan di bawah bidang kuasa pelancongan dan saya juga sudah mendapatkan maklumat lengkap dari Tourism Pahang berhubung perkara ini.

"Namun, saya percaya arahan sudah dikeluarkan dan petang tadi Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (Nga Kor Ming) sudah mengumumkan, ada arahan supaya untuk tujuh hari akan datang dilarang aktiviti perkhemahan di tepi sungai, air terjun dan lereng bukit," katanya.

Yu Man berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya jam 2.42 pagi semalam.

Insiden itu membabitkan seramai 94 individu termasuk pekerja tapak perkhemahan berkenaan.

Tragedi awal pagi itu meragut 19 nyawa setakat tengah malam tadi, manakala 14 masih belum ditemui dan 61 lagi berjaya diselamatkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS