Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: Hadi 'penyebar ucapan kebencian perkauman'
Diterbitkan:  Nov 17, 2022 3:55 PM
Dikemaskini: 8:08 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang didakwa penyebar utama 'retorik mengapi-apikan' ketika kempen PRU15.

Menurut penemuan awal pemantauan media sosial oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Abdul Hadi ditanggapi sebagai "antara individu utama yang menyebar luas naratif bersifat kebencian, tidak boleh bertolak ansur, rasis dan memecah-belahkan."

CIJ juga mengenal pasti Ketua Pemuda PAS Sik Shahiful Nasir, penyanyi Jamal Abdillah dan pelakon Zul Huzaimy turut sama "menyemai perasaan takut di kalangan pengundi Islam."

"Hadi Awang dan PAS turut menggunakan taktik ‘red tagging’ sejak beberapa minggu lalu, dengan tuduhan yang berterusan terhadap DAP sebagai komunis serta dituduh juga sebagai atheis dan pendukung amalan LGBTIQ," kata CIJ.

CIJ juga berkata pemimpin Pakatan Harapan Nga Kor Ming turut membuat kenyataan serupa.

"Sungguhpun tidaklah pada tahap yang sama, Pakatan Harapan juga turut memainkan sentimen perkauman dengan mendakwa undi kepada Perikatan Nasional (PN) 'sama seperti memilih Taliban' untuk memerintah negara," kata CIJ.

Inisiatif pemantauan media sosial CIJ memantau "tahap keparahan ucapan kebencian" semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Projek itu disokong oleh Universiti Nottingham Malaysia (UNM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

52,012 siaran media sosial dikaji

Penyelidikan itu bermula pada 20 Okt apabila tarikh pilihan raya diumumkan dan sehingga 15 Nov.

Para pemantau telah mengkaji sebanyak 52,012 siaran media sosial.

"Naratif berasaskan kaum merangkul carta teratas dengan 32,066 paparan. Ini diikuti dengan agama pada 13,338," kata CIJ.

Penyelidikan mengenal pasti satu lagi trend utama dalam ucapan benci dengan penggunaan stereotaip negatif mengenai orientasi seksual dan jantina.

Penyelidikan mendapati Pakatan Harapan dilabel sebagai "liberal" dan mempromosikan "agenda LGBTIQ".

"Dari 5,161 paparan tentang gender dan kelompok yang berkaitan dengan komuniti LGBTIQ, sebanyak 2,533 paparan berbaur seksis dan menggunakan istilah yang menghina gender dan lucah, serta 8 yang berada di peringkat ganas dan menyahmanusiakan," kata CIJ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS