PRU15 | Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan mengapa Presiden PKR, Anwar Ibrahim berdiam diri mengenai isu peruntukan untuk Bumiputera yang dipotong ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.
Ia susulan pendedahan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Azmin Ali baru-baru ini bahawa menteri kewangan daripada PH, Lim Guan Eng menyekat peruntukan RM400 juta untuk pembangunan ekonomi Bumiputera.
“Kenapa PH dan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiam diri mengenai perkara penting yang melibatkan ekonomi Bumiputera sehingga kini?
"Di mana ketelusan yang sering disebut oleh PH?," katanya dalam kenyataan sambil menyifatkan pendedahan itu amat mengejutkan dan membimbangkan.
Selain itu Faizal bertanyakan apakah justifikasi Lim Guan Eng dan PH untuk menyekat peruntukan Bumiputera, seperti yang didakwa Azmin.
"Sehingga kini, tiada seorang dari PH atau Lim Guan Eng atau Anwar yang berani memberi respon terhadap pendedahan ini oleh Azmin Ali. Rakyat berhak mengetahui.
"Anwar dan PH tidak wajar terus membisu,” tegas Faizal.
Ahad lalu, Azmin yang juga penyadang kerusi Parlimen Gombak mendedahkan peruntukan RM400 juta untuk program pemerkasaan ekonomi Bumiputera dipotong ketika PH mengambil alih Putrajaya.
Azmin yang merupakan bekas menteri hal ehwal ekonomi ketika pentadbiran PH, berkata peruntukan untuk Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 disekat oleh Lim Guan Eng, yang merupakan menteri kewangan ketika itu.
Bekas menteri besar Selangor itu turut berkata keputusan Lim itu boleh dibuktikan kerana direkodkan secara bertulis.
Azmin, yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) dipetik NST dalam ucapannya pada majlis gabungan itu di Sepang turut mendedahkan layanan serupa diberikan kepada Felda dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).
Menurut Azmin, dia telah membuat bantahannya melalui surat kepada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, sebelum 'Langkah Sheraton'.
‘Jawatan menteri kewangan akan diberi pada DAP sekali lagi?’
Mengulas lanjut, Faizal mengemukakan beberapa soalan kepada Anwar yang dinamakan sebagai calon perdana menteri daripada PH.
“Jika dilantik perdana menteri, adakah Anwar mampu menjamin bahawa hak ekonomi Bumiputera Melayu akan dipertahankan, memandangkan bahawa DAP adalah parti dominan dalam Pakatan Harapan?
"Adakah Anwar pernah membantah dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan terhadap tindakan-tindakan yang memprejudis ekonomi Bumiputera oleh Menteri Kewangan DAP seperti di atas?
"Apakah pemimpin DAP akan sekali lagi diberi jawatan menteri kewangan jika PH dapat membentuk kerajaan selepas PRU15?" soalnya.