Seorang pemimpin DAP Melaka mengkritik Maszlee Malik, selepas bekas menteri pendidikan itu menegur cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong agar sejarah semua kaum di Malaysia dimasukkan dalam buku teks sekolah rendah.
“Saya kecewa dengan kenyataan Maszlee yang menggambarkan cadangan Khoo untuk mengajar sejarah semua kaum di Malaysia kepada murid sekolah sebagai usaha mempolitikkan kurikulum dengan naratif perkauman.
“Tidak dapat dinafikan bahawa perbincangan mengenai pendidikan di Malaysia adalah sesuatu yang kompleks dan sering berkait rapat dengan isu sensitif seperti kaum dan agama.
“Namun, mendakwa bahawa ahli politik yang tidak mempunyai latar belakang dalam pedagogi dan pendidikan tidak boleh memberi pandangan mengenai kurikulum pendidikan kita adalah tidak tepat,” kata ahli Majlis Eksekutif Nasional Pemuda DAP, Jason Tze-Xi Nathan, dalam satu kenyataan hari ini.
Khoo membuat cadangan tersebut pada 24 Feb lalu dengan menyatakan bahawa langkah itu dapat membantu memupuk perpaduan sejak usia muda.
Sebagai contoh, katana, negara ini pada tahun lalu meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dengan China.
“Hubungan itu bermula apabila Laksamana Cheng Ho datang ke Melaka.
“Tetapi apabila saya menyemak buku teks sejarah sekolah rendah, perkara ini langsung tidak disentuh,” katanya seperti yang dilaporkan.
Bagaimanapun, Maszlee membalas dengan menyatakan bahawa penyediaan kurikulum di sekolah bukan sahaja melibatkan pakar dalam bidang berkenaan, tetapi juga pakar dalam pendidikan, pedagogi, perpaduan, sosiologi, dan sebagainya.
Maszlee berkata campur tangan ahli politik yang tiada latar belakang dalam pendidikan atau pedagogi dalam kurikulum hanya akan “merosakkan” keadaan.
Tugas ahli parlimen
Sementara itu, Jason mengingatkan Maszlee bahawa sebagai Ahli Parlimen, Khoo berhak untuk bersuara demi kebaikan untuk negara dalam semua isu, bukan hanya dalam bidang kepakarannya sahaja.
Pemimpin DAP itu turut menyambut baik respons Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung pandangan Khoo, yang menurutnya menunjukkan bagaimana demokrasi berparlimen sepatutnya berfungsi.
“Mungkin Maszlee bercakap berdasarkan kebimbangan hasil pengalamannya sendiri semasa menjawat jawatan menteri pendidikan.
“Walau apa pun, sebagai anak Melaka, saya tidak mahu wakil rakyat saya hanya menghantar cadangan kepada menteri melalui WhatsApp.
“Saya mahu beliau membangkitkan isu dalam parlimen supaya kita boleh meminta menteri yang berkenaan bertanggungjawab melalui jawapan mereka,” tambah Jason.
- Bernama