Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Melawan rasuah adalah menentang kejahatan.  Saya  mulakan tulisan ini dengan memetik lirik lagu Surat Buat Wakil Rakyat ciptaan dan nyanyian artis terkenal Indonesia, Iwan Fals:

Untukmu yang duduk sambil diskusi
Untukmu yang biasa bersafari
Di sana, di gedung DPR

Wakil rakyat kumpulan orang hebat
Bukan kumpulan teman-teman dekat
Apalagi sanak famili

Di hati dan lidahmu kami berharap
Suara kami tolong dengar lalu sampaikan
Jangan ragu, jangan takut karang menghadang
Bicaralah yang lantang, jangan hanya diam!

Di kantong safarimu kami titipkan
Masa depan kami dan negeri ini
Dari Sabang sampai Merauke
Saudara dipilih bukan dilotre

Meski kami tak kenal siapa saudara
Kami tak sudi memilih para juara
Juara diam, juara he-eh, juara hahaha

Wakil rakyat seharusnya merakyat
Jangan tidur waktu sidang soal rakyat
Wakil rakyat bukan paduan suara
Hanya tahu nyanyian lagu "setuju"

Lagu ini meledak di Indonesia ketika rakyat negara itu menuntut reformasi ekoran kegagalan rejim Orde Baru pimpinan Suharto.

Indonesia  kaya dengan penduduk - lebih 300 juta - tapi kemiskinan merantai 80 peratus daripada warganya. Korupsi, salah guna kuasa dan penindasan tidak banyak  berubah berbanding era Sukarno yang memerintah sejak 1945 sehingga 1967.

Perjuangan reformasi memuncak pada 1998 apabila Indonesia gagal mengawal ekonomi dan kemiskinan. Jakarta gagal melunaskan hutang Tabung Kewangan Antarabangsa sehingga memaksa Suharto meletak jawatan.

Ekonomi merudum dan rakyat bangkit di jalanan menuntut keadilan serta kehidupan yang lebih baik. Kerajaan kerap bertukar pimpinan namun Indonesia - sehingga awal 2000 - masih keliru tentang kedaulatan dan kemanusiaan.

Kemiskinan menjadi hiasan peta negara Islam terbesar di dunia itu.

Rasuah susahkan rakyat

Suara reformasi bukan sekadar protes kebangkitan rakyat yang kelaparan, sebaliknya citra kebangkitan rakyat menentang wakil rakyat yang korup. Iwan Fals yang bersekutu dengan penyair terkenal Indonesia WS Rendra  mendedahkan kepincangan pemerintah yang sekadar mengenyangkan  peribadi.

Sebahagian besar lirik lagu Iwan Fals adalah perjuangan rakyat menentang ketidakadilan. Rakyat memberontak kerana mereka dipermainkan oleh wakil rakyat masing-masing.

Rakyat keliru kerana pemimpin yang mereka pilih akhirnya tidak mengenal orang yang mengangkat mereka ke jawatan berkenaan.

Ketegasan lirik Iwan Fals seiring dengan sajak-sajak ciptaan Rendra yang menentang koruptor. Di mata para sahabatnya, Rendra adalah susuk yang berwibawa dan disegani.

Rendra

Iwan Fals dan Rendra bercakap tentang melawan kejahatan, menentang kezaliman pemimpin yang korup. Kejahatan koruptor mempunyai kesan yang besar. Bukan sekadar pelaku yang menerima kesan dosa daripada perbuatan rasuah, juga kesulitan buat rakyat terbanyak.

Generasi terkemudian bakal menerima kesan daripada pimpinan korup yang disalah pilih oleh rakyat menerusi peti undi.

Secara sinis Rendra mencipta Pantun Koruptor yang ditujukan kepada wakil rakyat yang melupakan rakyat sebaik saja mendapat berkuasa:

Kalau ada sumur di ladang
Jangan diintip gadis yang mandi
Koruptor akalnya panjang
Jaksa dan hakim diajak kompromi.

Berburu ke padang datar
Mendapat janda belang di kaki
Koruptor sakit diijinkan pesiar
Uang rakyat dibawa lari.

Berakit-rakit ke hulu
Berenangnya kapan-kapan
Maling kecil sakit melulu
Maling besar dimuliakan

Rasuah, salah guna kuasa dan penindasan berlaku secara terbuka ketika rakyat kelaparan. Kronisme dan korupsi - istilah yang dulunya tabu - kini diperkatakan secara meluas bukan sahaja di Indonesia, juga di Malaysia.

Tentunya gerakan reformasi di Indonesia pada 1998 tidak sama dengan apa yang berlaku di Malaysia, namun semangat dan kebangkitan rakyat tidak dapat ditahan apabila rasuah berlaku secara terbuka, manakala wakil rakyat yang dipilih tidak lagi memperjuangkan nasib rakyat.

Bukan melawan penyeluk saku

Selepas 20 tahun reformasi 1998 berlalu, akhirnya berlaku pertukaran kerajaan daripada kleptokrat kepada kerajaan pilihan rakyat secara demokratik pada Mei 2018.

Malangnya demokrasi Malaysia yang masih muda tidak tahan ujian suapan wang dan kuasa apabila 22 bulan kemudian rakyat 'dipaksa' menerima pertukaran kerajaan melalui pembelotan dan transaksi habuan.

Ia berlaku tanpa sedikit pun rasa malu pada wajah-wajah wakil rakyat yang terlibat.

Di sebalik propaganda murahan mengenai 'kegagalan' kerajaan pilihan rakyat itu, tempoh 22 bulan berkenaan sebenarnya waktu untuk orang ramai menyaksikan pendedahan pelbagai kejahatan yang sebelum itu diselindungkan.

Kleptokrat menubuhkan syarikat menggunakan dana negara untuk mengaut keuntungan peribadi berbilion ringgit, misalnya. Juga mengenai yayasan 'kebajikan' yang luar biasa apabila kewujudannya seumpama bunian - ada pada nama, misteri pada mata.

Hari ini menentang kejahatan bukan sekadar perjuangan melawan penyeluk saku di pasar Chow Kit. Ia adalah tentang menolak kejahatan yang membudaya dan menjadi sebahagian daripada cara hidup.

Pelbagai peringkat terkait dengan isu rasuah walaupun kadar penerimaan berbeza.

Rakyat berdepan dengan 'penyamun' yang sama sekali berbeza daripada apa yang tergambar dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Penyamun kini adalah golongan yang kelihatan hebat serta suci.

Pada 19 Nov ini akan berlangsunglah PRU ke-15. Pilihlah wakil yang merakyat, bukannya tukang lawak, kaki carut, pedagang agama, anarkis dan yang seumpamanya. Apa lagi koruptor yang berselindung di sebalik agama dan bangsa.

Elak golongan yang mendirikan kilang dalil untuk menghukum orang lain seolah-olah diri mereka maksum dan terjamin ke syurga tanpa hisab. Jangan dipilih calon yang bermain banyak kolam dan memperguna agama untuk menghukum.

Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah seramai 21,113,234 orang. Daripada jumlah tersebut, 1,141,749 orang (5.4 peratus) adalah pemilih berusia 18 hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang (94.6 peratus) ialah pemilih 21 tahun dan ke atas.

Biar anak muda tahu

Sebahagian daripada mereka adalah anak muda Generasi  Z (Gen Z), bukannya baby boomers, Gen X atau Gen Y.  Facebook bukan lagi medium sosial mereka.

Gen Z aktif di TikTok, Twitter dan Instagram. Majaroti mereka adalah pelajar tingkatan enam dan siswa universiti. Ramai juga yang terkandas dalam pelajaran atau penganggur.

Kebanyakan ahli politik dan bakal wakil rakyat pula adalah generasi tua. Mereka mungkin mempunyai ribuan pengikut di Facebook. Justeru jurang di antara mereka dengan Gen Z bukan saja kerana faktor usia bahkan medium sosial.

Gerakan menentang rasuah melawan kejahatan perlu dibawa ke TikTok, Instagram dan Twitter supaya orang muda tahu siapa perasuah yang berselindung di sebalik slogan ketuanan bangsa.

Anak muda itu kebanyakannya masih tercari-cari arah hidup. Justeru aktivis parti perlu menjelaskan kepada mereka akan hala tuju agenda menentang kejahatan rasuah.

BN ada rekod memerintah, memiliki ramai wakil rakyat yang kompeten, tetapi parti itu terpalit dengan budaya rasuah dan salah guna kuasa. Ada yang sudah diseret dan dihukum di mahkamah.

Setiap parti dan pakatan politik ada kekuatan dan kelemahan. Rakyat berhak memilih yang terbaik daripada sekian banyak mudarat yang timbul. Melawan rasuah adalah menentang kejahatan.

Slogan ini perlu jadi prinsip dalam kehidupan manusiawi. Slogan ini tidak muncul sendiri. Amalan rasuah sudah lama wujud dengan tamadun dunia.

Amalan rasuah bukan sahaja dalam kalangan pedagang bahkan penguasa politik untuk mencari dan mengekalkan kuasa. Melawan rasuah adalah menentang kejahatan. Pengundi kena tahu jika perasuah diberi peluang berkuasa semula, mereka akan menggunakan rasuah untuk menentang kebenaran yang sepatutnya menjadi milik rakyat.

Belum berkuasa pun sudah ada cadangan untuk menukar ketua hakim negara, peguam negara dan membebaskan tuduhan rasuah terhadap beberapa tokoh yang terpalit skandal. Ada juga yang bincang pengampunan diraja buat 'Mat Sakau' yang baru dua bulan dalam penjara.

Bayangkan jika rakyat salah memilih. Ingat: melawan rasuah adalah menentang kejahatan. Parti politik yang menentang perasuah wajar bersatu dan ketepikan ego peribadi.

Perpecahan dalam kalangan penentang rasuah akan memberi manfaat kepada perasuah itu sendiri. Jika tidak bersatu perasuah akan berkuasa dan meneruskan tradisi rasuah untuk dulu, kini dan selamanya.

Jom, kita lawan perasuah melalui peti undi seperti pesanan Iwan Fals dan Rendra!


IMLAN ADABI Ialah wartawan dan sasterawan yang tiada kluster mahupun kasta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS