Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Sarawak balik mengundi: K'jaan negeri pertimbang beri subsidi
Diterbitkan:  Oct 15, 2022 10:37 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Kerajaan Sarawak akan mempertimbangkan pemberian subsidi kepada anak Sarawak untuk balik mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan secara terperinci bersama pimpinan lain.

"Bila pilihan raya saya tidak tahu tapi akan dipertimbangkan. Tauk tauk erti mun balit sine tuju (tahu kalau balik nak ke mana)," katanya bagi menjawab soalan anak Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia dalam sesi Sarawak Agenda: Town Hall bersama Premier Sarawak di Program Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS), di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu Abang Johari berkata sesi libat urus dan persefahaman antara barisan pimpinan pelajar dan Kerajaan Sarawak akan diadakan bagi mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar antaranya kadar sewa yang mahal.

Beliau berkata perbincangan akan diadakan bersama Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menambah satu bangunan di Kuala Lumpur dengan kadar sewa yang munasabah kepada anak Sarawak.

LBAS bermula sebagai sebuah perkumpulan Ramah Tamah Aidilfitri pada 2008 di Pejabat Yayasan Sarawak Kuala Lumpur yang dianjurkan secara tahunan.

Sambutan menggalakkan daripada anak-anak Sarawak menjadikan program itu diangkat sebagai program rasmi negeri oleh Kerajaan Sarawak pada 2011 dan berterusan sehingga kini.

Tahun ini LBAS dilaksanakan buat kali Ke-13 dan telah menarik penyertaan lebih 6,000 anak Sarawak di Semenanjung Malaysia khususnya siswa-siswi yang belajar di sini.

LBAS turut menjadi wadah bagi anak-anak Sarawak menyuarakan pandangan dan cadangan untuk dipertimbangkan secara langsung oleh kepimpinan negeri yang hadir bersama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS