Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim lapor polis berhubung dakwaan terbaru babitkan Jho Low
Diterbitkan:  Oct 15, 2022 12:20 PM
Dikemaskini: 4:35 AM

Penyandang Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan bahawa Low Taek Jho (Jho Low) mungkin telah menubuhkan syarikat perniagaan baru menggunakan dana 1MDB dan kebal daripada tindakan undang-undang.

Ahli parlimen DAP itu membuat laporan tersebut di ibu pejabat polis Dang Wangi pagi ini selepas membaca laporan berita mengenainya semalam.

"Tujuan laporan polis ini adalah untuk pihak polis, SPRM, Bank Negara dan agensi kerajaan lain menyiasat jika Jho Low mencuri wang USD333 juta itu dari dana 1MDB dan jika dia kini beroperasi di Shanghai World Financial Center, China.

Semalam, pengarang buku, Bradley Hope dan Tom Wright dalam rakaman video terbaru di YouTube mendakwa ahli perniagaan itu mungkin telah memperbadankan sebuah syarikat baru di British Virgin Islands.

Mereka berkata jejak dokumen menunjukkan bahawa JinWeiJing Business Consulting, sebuah entiti yang dikenali sebagai syarikat induk keluarga Low, telah menukar namanya kepada GuiYue Business Consulting dan pemilikannya baru-baru ini dipindahkan kepada entiti BVI bernama Grace Zenith Limited.

GuiYue mempunyai alamat perniagaan di Pusat Kewangan Dunia Shanghai - sebuah bangunan pencakar langit setinggi setengah kilometer dan dikenali sebagai pusat perniagaan ikonik di China.

Hope dan Wright, yang kedua-duanya mengarang buku "Billion Dollar Whale", giat memburu ahli perniagaan itu dan cuba mencari lokasinya menerusi inisiatif yang digelar sebagai "Project Brazen".

Mereka mendakwa sebanyak AS$333 juta (RM1.5 bilion) yang dibayar Grace Zenith untuk mengambil alih GuiYue mungkin berasal daripada 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS