ADS
mk-logo
Berita
Kes saman mohon hentikan PRU15: PM, SPR fail memorandum kehadiran

Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dan dua pihak lain akan membuat pernyataan pembelaan terhadap tindakan undang-undang yang diambil penyandang kerusi parlimen Klang Charles Santiago untuk menghentikan Pilihan Raya Umum ke-15 daripada berlangsung tahun ini.

Ismail, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memfailkan memorandum kehadiran mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tengah hari ini.

Ketiga-tiga mereka merupakan tiga defendan yang dinamakan oleh pemimpin DAP itu dalam saman pemula yang difailkan awal Isnin minggu ini.

Di bawah undang-undang untuk saman sivil, selepas diserahkan kertas kausa, defendan akan memfailkan memorandum kehadiran yang bermakna defendan akan membela diri terhadap saman itu.

ADS

Menurut salinan yang dilihat, memorandum kehadiran itu difailkan oleh firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bagi pihak Ismail Sabri, kerajaan dan SPR.

Berikutan itu, ketiga-tiga defendan kini mempunyai beberapa pilihan yang ada, seperti memfailkan pernyataan pembelaan mereka terhadap tindakan sivil itu.

Dalam saman sivil berkenaan, Charles memohon pengisytiharan bahawa permintaan Ismail Sabri memohon perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah bercanggah dengan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Charles, permintaan (untuk membubarkan parlimen) tidak dibuat atas nasihat kabinet, dan oleh itu, terbatal dan tidak sah.

Dia memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa pembubaran parlimen tidak mengikut Perkara 55(2) dan Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan, dan perintah untuk menghalang SPR daripada mengambil sebarang langkah untuk menjalankan pilihan raya.

Dalam afidavitnya, Charles memetik musim hujan dan risiko banjir sebagai alasan untuk menghentikan pilihan raya.

Selain itu, Charles juga menuntut kos dan perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

“Kawasan saya di Klang, yang mempunyai 210,662 pengundi, adalah antara yang paling teruk dilanda banjir Disember lalu, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 54 terkorban, dan sekurang-kurangnya 71,000 orang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Charles seterusnya mengambil maklum amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai risiko banjir semasa musim tengkujuh pada November dan Disember.

Dalam afidavit itu, Charles menegaskan bahawa banyak parti politik, kecuali Umno, menentang mengadakan pilihan raya tahun ini, kerana risiko banjir.

“Malah, 12 menteri daripada PAS dan Perikatan Nasional telah menulis surat kepada Agong, menyatakan tidak bersetuju dengan pilihan raya yang diadakan tahun ini.

“Satu-satunya parti yang mahu pilihan raya diadakan secepat mungkin ialah Umno,” katanya.

ADS

Kata Charles lagi, ahli parlimen Umno hanya berjumlah 37 daripada 222 Dewan Rakyat, bermakna sokongan untuk pembubaran parlimen cuba membabitkan kira-kira 17 peratus daripada anggota Dewan Rakyat.

Justeru, Charles mempersoalkan kesahihan permohonan Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen.

“Permintaan itu boleh dibuat kemudian, memandangkan penggal Parlimen ke-14 hanya berakhir pada 16 Julai 2023.

“Bagaimanapun, atas sebab yang tidak diketahui, defendan pertama (Ismail Sabri) meminta (pembubaran Parlimen) begitu hampir dengan musim banjir, yang boleh menjejaskan hak pengundi untuk membuang undi,” kata Charles.

Dalam satu kenyataan kemudian, Charles berkata dia terpaksa mengambil tindakan undang-undang itu kerana suratnya yang diutus berulang kali kepada SPR untuk meminta rancangan mitigasi ketika banjir tidak diendahkan.

"Memandangkan alasan di atas, saya amat percaya bahawa nasihat Ismail Sabri kepada Agong adalah terbatal. Akibatnya, saya juga percaya pembubaran Parlimen tidak mempunyai kesan undang-undang.

"[Dengan memfailkan saman pemula ini] saya ingin menyatakan secara mutlak bahawa saya tidak mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong tetapi hanya nasihat yang diberikan oleh Ismail," katanya.

Saman pemula itu ditetapkan untuk pendengaran pada 20 Okt.

Charles diwakili peguam Surendra Ananth.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS