mk-logo
Berita
Umno gantung Tajuddin, ketua bahagian Alor Setar 6 tahun
Diterbitkan:  Oct 1, 2022 1:57 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Umno dilaporkan memutuskan untuk menggantung keahlian Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun, berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam, yang turut mengenakan hukuman sama kepada Ketua Umno Alor Setar, Mohd Yusof Ismail, menurut laporan Utusan Malaysia.

Sumber yang dipetik laporan itu berkata, Tajuddin dikenakan tindakan itu atas kritikan terbuka yang dibuatnya kepada Umno.

“Memang betul (mereka) digantung enam tahun. (Alasannya tentu) semua sudah tahu sebab apa. Dia (Tajuddin) ada buat sidang media terbuka. Dia bukan kritik presiden tetapi (kritik) Umno.

“(Namun, alasan Ketua UmnoBahagian Alor Setar digantung), itu saya tak pasti,” katanya seperti dipetik.

Pada Jun lalu, Tajuddin disingkirkan daripada MT selepas menyifatkan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai "liabiliti" untuk parti itu, dan menggesanya untuk letak jawatan.

Malaysiakini telah menghubungi Tajuddin berhubung perkara ini tetapi belum menerima maklum balasnya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata dia belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung penggantungan keahliannya.

Namun, dia percaya tindakan terhadap dirinya itu merupakan isyarat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob jika gagal membubarkan parlimen dalam masa terdekat.

"Saya percaya ini juga adalah isyarat kepada perdana menteri, jika Dewan Rakyat tidak dibubarkan segera, maka dia juga akan digantung seperti saya.

"Saya agak kesal kerana hukuman ke atasnya dilihat lebih berat berbanding hukuman ke atas bekas ahli MT Umno, Lokman Noor Adam yang lebih banyak memburukkan perdana menteri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya dia ada mengkritik presiden, tetapi hanya dalam kumpulan WhatsApp ketua bahagian Umno.

Dalam mesyuarat MT semalam, Umno turut memutuskan untuk memecat bekas setiausaha Umno Bandar Tun Razak Zaharin Mohd Yasin, didakwa atas sebab mengkritik kepimpinan parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS