Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bapa putus ibu jari dipukul anak sendiri
Diterbitkan:  Sep 16, 2022 8:31 AM
Dikemaskini: 12:31 AM

Seorang warga emas lelaki putus ibu jari tangannya setelah dipukul oleh anaknya sendiri di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Sentol di Jertih.

Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata dalam insiden kira-kira 7.30 pagi kelmarin itu, mangsa yang berusia 71 tahun dikatakan enggan memberikan wang kepada anak lelakinya.

"Suspek seorang duda berusia 50 tahun yang tinggal bersama mangsa tiba-tiba mengamuk dipercayai berang kerana bapanya tidak memenuhi permintaannya lalu memukul bapanya dipercayai dengan menggunakan sebatang rotan.

"Mangsa kemudian pergi ke rumah anak perempuannya yang tinggal berdekatan dalam keadaan berlumuran darah dan lemah," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata warga emas itu memberitahu anak perempuannya yang berusia 43 tahun bahawa suspek telah memukul mangsa dengan tongkat di bahagian kepala, mata kiri dan tangan kanan.

​​"Wanita itu dengan bantuan jiran telah membawa bapanya ke Hospital Besut untuk rawatan sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Pemeriksaan doktor pakar mengesahkan mangsa mengalami patah dan putus ibu jari tangan kanan serta turut menerima jahitan di bahagian belakang kepala," katanya.

Abdul Rozak berkata suspek berjaya diberkas di rumahnya dan polis merampas sebatang tongkat rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah bagi kesalahan mencuri dan kekerasan serta tiga rekod berkaitan dadah.

"Saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis metamfetamina dan polis tidak menolak kemungkinan suspek meminta wang daripada bapanya kerana mahu membeli dadah,” katanya.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS