Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Junaidi akan bawa isu had jawatan PM dua penggal ke kabinet

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dia akan membangkitkan cadangan had tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun kepada Kabinet.

Wan Junaidi berkata, cadangan had dua penggal untuk memegang jawatan perdana menteri ditangguhkan sementara agar kerajaan dapat memberi tumpuan dalam merangka undang-undang antilompat parti.

"Cadangan ini tidak digugurkan. Tapi kabinet putuskan untuk tangguhkan buat masa ini sehingga libat urus dengan semua parti politik dibuat.

"Jadi, memandangkan ketika itu kita beri tumpuan kepada undang-undang antilompat, isu ini bukan dalam skop kerja saya," katanya ketika dihubungi.

"Saya akan bangkitkan perkara ini di mesyuarat kabinet," katanya lagi.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan berhubung tindakan melompat parti, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

RUU itu akan dibawa ke Dewan Negara dan apabila diluluskan, ia akan diwartakan paling awal Ogos ini.

Ia merupakan antara pembaharuan yang dinyatakan dalam memorandum persefahaman (MOU) antara PH dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Susulan itu, PH mengarahkan wakilnya dalam Jawatankuasa Pemandu MOU untuk segera mengadakan mesyuarat dengan wakil kerajaan bagi membincangkan perkara-perkara lain yang telah dipersetujui.

Dalam kenyataan semalam, PH menggariskan tiga janji iaitu mengehadkan jawatan perdana menteri kepada tidak lebih 10 tahun, membentang dan meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen dan pindaan Peraturan Mesyuarat Parlimen bagi memastikan prosiding Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan dengan lebih teratur dan lancar.

Bulan lalu, Wan Junaidi memberitahu Malaysiakini bahawa RUU bagi tempoh memegang jawatan perdana menteri sudah sedia untuk dibentang.

Ketika pentadbirannya, PH cuba untuk meminda Fasal 2(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan seseorang itu tidak boleh menjadi perdana menteri melebihi dua penggal Parlimen.

Namun pada Ogos 2020, kerajaan PN menarik balik RUU untuk meminda perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS