Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zakir: Media salah petik ceramah saya di Kota Bharu pada 2019

Penceramah Zakir Naik hari ini berkata ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan tiga tahun lalu bertujuan untuk menyatukan orang ramai menerusi nilai-nilai bersama yang dikongsi pelbagai agama.

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, kenyataan fitnah terhadapnya adalah berpunca daripada media yang memetik secara salah kandungan ceramahnya pada 8 Ogos 2019.

Warga India yang berstatus penduduk tetap Malaysia itu juga berkata ceramahnya - dengan kandungan sama seperti ceramah yang pernah diberikannya di pelbagai negara sebelum itu - bukan untuk menyinggung mana-mana pihak, tetapi untuk mendidik dalam bidang perbandingan agama.

Katanya, ketika ceramah itu diberikan, tiada hadirin termasuk yang bukan beragama Islam yang menyuarakan bantahan atau tersinggung dengannya.

Katanya lagi, kenyataan yang didakwa bersifat fitnah ditujukan kepadanya hanya beberapa hari kemudian, selepas laporan media berkaitan ceramah tersebut.

Di sebalik apa yang didakwanya sebagai laporan yang tidak tepat, dia menafikan ceramahnya ada membuat sebarang dakwaan berkenaan kesetiaan penganut agama Hindu di Malaysia.

"Saya ingin menjelaskan yang banyak kali ketika saya mengatakan sesuatu, media akan salah petik (kata-kata tersebut), seperti di Kelantan, di mana media melaporkan penganut Hindu (di Malaysia didakwa) lebih setia (kepada Perdana Menteri India Narendra Modi). Saya tak pernah kata begitu.

"Masalah utama adalah media dan orang menulis artikel (berkenaan ceramah di Kota Bharu) dalam media seperti defendan (Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy). Mereka salah petik saya.

"Saya berhati-hati dalam memilih kata-kata dan tidak mengejek agama lain kerana ia bertentangan dengan nilai Islam," katanya kepada hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Dia memberikan keterangan lisan dalam pendengaran dua saman fitnah yang difailkannya terhadap Ramasamy.

Saman pertama difailkan pada 16 Okt 2019, berhubung empat kenyataan Ramasamy yang dikeluarkan pada 10 April 2016; 1 Okt 2017; 11 Ogos 2019; dan pada 20 Ogos 2019.

Selain Ramasamy, Zakir juga memfailkan saman fitnah terhadap bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Satees Muniandy dan bekas duta, Dennis J Ignatius.

Namun pada 4 Julai lalu, Zakir dan Kulasegaran menyelesaikan saman itu di luar mahkamah.

Pendengaran akan bersambung 8 Ogos ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS