Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tanya Takiyuddin apa maksud perjanjian, MOA - Hamzah

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin mahu rakan sejawatannya daripada PAS menjelaskan kenyataannya bahawa draf berkaitan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) seperti yang dimaklumkan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bukan satu perjanjian.

“Tanya dia (Takiyudin) apa maksudnya perjanjian atau memorandum perjanjian (MOA),” kata Hamzah yang juga menteri dalam negeri. Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kemelut politik itu.

Semalam, Takiyuddin berkata persetujuan melantik TPM bukan satu perjanjian, tetapi sekadar memorandun perjanjian (MOA).

Walaupun mengakui bahawa dia membuat draf perjanjian berkenaan atas kedudukannya sebagai menteri di jabatan perdana menteri (undang-undang) pada waktu itu dan bukan kapasiti parti, Takiyuddin berkata perlantikan TPM berada pada kehendak Yang di-Pertuan Agong.

Takiyuddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin yang menasihatkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang supaya merujuk kepada setiausaha agung parti itu, mengenai kewujudan perjanjian jawatan timbalan perdana menteri.

Menurut Muhyiddin, yang juga adalah pengerusi Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin ialah individu yang menggubal draf perjanjian berkenaan.

Selain itu, bekas perdana menteri itu juga mengingatkan Hadi bahawa, selain Takiyuddin, saksi perjanjian itu ialah Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Ketua Umno Bahagian Ketereh, Annuar Musa.

Selain menyentuh mengenai jawatan timbalan perdana menteri, perjanjian itu antara lain dilapor turut menyentuh mengenai bilangan jawatan dalam kabinet khususnya mengenai bilangan kuota setiap parti yang menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

Pada 8 Julai lalu, Hadi dipetik sebagai berkata tiada sebarang perjanjian dibuat berhubung pelantikan jawatan timbalan perdana menteri antara PN dengan Ismail Sabri.

Menurutnya, PAS masih lagi berpegang pada keputusan awal penubuhan kerajaan bahawa tidak ada jawatan timbalan perdana menteri.

Sehari kemudian, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin ketika presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri, Marzuki Mohamad tampil mengesahkan wujud perjanjian berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS