Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ingatkan ahli, pemimpin usah pecah-belahkan rakyat
Diterbitkan:  Jul 5, 2022 8:23 AM
Dikemaskini: 12:23 AM

PAS memberikan ikrar dan iltizamnya untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota parti itu yang bertindak ke arah memecah-belahkan masyarakat.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata parti itu sememangnya menyokong sebarang langkah untuk menyatukan manusia kerana ia selaras dengan perintah dalam al-Quran.

Pada masa sama kata Takiyuddin PAS juga menjunjung tinggi titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu perpecahan dalam kalangan orang Melayu di negara ini ditamatkan.

"PAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pimpinan dan ahlinya yang bertindak membelakangkan aspek perpaduan serta mendorong berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat," katanya malam tadi.

Semalam Sultan Sharafuddin bertitah baginda memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik yang dilihat boleh mengancam perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Titahnya pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

"Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara. Bagaimanapun, beta berasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan.

"Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu," titahnya.

Kata Takiyuddin PAS memang sentiasa komiten mengusahakan agenda penyatuan ummah dalam kalangan orang Melayu Islam di negara ini, serta pada masa sama mengukuhkan perpaduan nasional antara semua rakyat yang berbilang kaum.

"PAS juga akur sebagaimana dititahkan baginda bahawa Islam sentiasa menggalakkan manusia bersatu padu dan tidak berpecah belah selaras dengan perintah yang terkandung dalam al-Quran," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS