Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam kejadian didakwa kekasaran terhadap tiga orang petugas media dipercayai melibatkan anggota pasukan keselamatan dalam majlis pelancaran Perikatan Nasional Kelantan di Tanah Merah, Kelantan, semalam.
"Seorang wartawan lelaki ketika dihubungi mendakwa telah 'ditampar' di bahagian perut, manakala seorang lagi wartawan wanita mendakwa 'dicengkam leher'.
"(Ini berlaku) ketika (merela) berada di bawah pentas utama yang membariskan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin serta dua pemimpin kanan Bersatu yang juga merupakan menteri, Mohd Radzi Jidin dan Mustapa Mohamed.
"Kedua-dua wartawan mendakwa telah dikasari oleh pengawal peribadi atau anggota Unit Tindakan Khas yang cuba menghalang mereka dari berada di sekitar tangga pentas untuk mengambil gambar gimik pelancaran.
"Difahamkan seorang lagi wartawan juga telah ditolak dengan kasar bagi menghalang dari mendekati barisan pemimpin," kata Geramm.
Kumpulan wartawan itu berkata pihaknya tidak dapat memastikan sama ada insiden melibatkan individu yang sama atau berbeza.
"Sebarang bentuk kekasaran terhadap wartawan, termasuk secara fizikal, adalah salah dan tidak boleh diterima.
"Hak wartawan untuk menjalankan tugas membuat liputan secara bebas dan adil (free and fair) harus dilindungi oleh semua pihak, termasuk melalui peruntukan undang-undang," katanya.
Menurut Geramm lagi, kumpulan itu telah menghubungi salah seorang pegawai pemimpin terlibat dan difahamkan tindakan lanjut akan diambil bagi mengesahkan identiti individu tersebut.