Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Veteran DAP sindir Chin Tong 'pura-pura' tak tahu mahu kerusi mana
Diterbitkan:  Jul 2, 2022 7:15 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Veteran DAP Teng Chang Khim hari ini menyelar Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong sebagai bersikap “pura-pura” tidak tahu berhubung kerusi parlimen yang ingin ditandinginya.

Terdahulu hari ini, Liew hadir di forum di Skudai, Johor dan mengumumkan harapannya untuk diletakkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi parlimen.

Memandangkan Liew kini Adun Perling, dia memerlukan pertimbangan khas oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding sebagai calon parlimen.

Liew enggan mendedahkan kerusi yang diinginkannya kerana pemilihan calon adalah hak kepimpinan parti.

Bagaimanapun, Teng menegaskan bahawa keputusan Liew untuk menjemput veteran DAP Lim Kit Siang di forum itu mendedahkan niat sebenarnya.

Lim ialah ahli parlimen Iskandar Puteri selama dua penggal. Lim, 81, sebelum ini mengumumkan akan bersara daripada politik pada penghujung penggalnya.

Selepas forum itu dilaporkan media, Teng membalas di laman Facebooknya untuk mengkritik Liew, tanpa menamakan Liew.

Teng berkata dia sebelum ini memutuskan untuk tidak mengulas mengenai politik tetapi memandangkan perkembangan itu, dia tidak dapat menahan diri.

Teng membayangkan bahawa dengan membuat pengumuman sedemikian di hadapan Lim, Liew pasti mendapat sokongan untuk berbuat demikian.

Lebih-lebih lagi, Skudai - lokasi acara itu - terletak dalam kawasan DUN Iskandar Puteri.

"Kenapa malu-malu? Kenapa anda berpura-pura tidak tahu kerusi mana yang anda sedang intai?

"Hipokrasi seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Teng berkata, jika Liew memang tidak menyasarkan untuk bertanding Iskandar Puteri, dia harus menafikannya.

Bagaimanapun, Liew menjelaskan dia hanya menyatakan kesediaan untuk bertanding di kerusi parlimen selepas ditanya media pagi tadi.

Dalam catatan Facebook petang ini, Liew berkata bahawa dia tidak berniat untuk mengumumkan apa-apa hari ini.

“Media bahasa Inggeris dan bahasa Cina hanya bertanya sama ada saya bercadang untuk bertanding di kerusi parlimen tertentu. Tiada apa-apa yang khusus diumumkan.

“Jawapan saya ialah saya berhasrat untuk bertanding kerusi parlimen. Bagaimanapun, ini terpulang kepada keputusan pucuk pimpinan pusat,” tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS