Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PAS pinggir Bon Odori macam haramkan Mak Yong di Kelantan' - NGO
Diterbitkan:  Jun 11, 2022 2:20 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Tindakan PAS 'meminggirkan' festival Bon Odori dengan menggesa umat Islam supaya tidak menghadiri acara kebudayaan itu sama seperti yang dilakukan parti itu terhadap tarian Mak Yong selama beberapa dekad di Kelantan, kata NGO Sisters in Islam (SIS).

Kumpulan hak asasi wanita itu mengkritik PAS dan pihak berkuasa serta tokoh lain yang berfikiran sama kerana menggalakkan sikap tidak bertoleransi dan ketaksuban dalam masyarakat majmuk dan pelbagai budaya.

"Mari kita hadapi. Parti politik agama Islam, pihak berkuasa dan tokoh di Malaysia mempunyai masalah dengan tradisi dan amalan budaya, sama ada orang lain atau (warisan) kita.

"PAS tidak secara zahir mengisytiharkan Bon Odori sebagai haram seperti yang dilakukan terhadap Mak Yong pada 1991.

“Namun begitu, pandangan mereka mungkin memberi kesan kepada umat Islam di Malaysia, yang mungkin serius mempertimbangkan semula dan menyahut seruan mereka untuk tidak menyertainya," kata SIS.

Diketepikan sejak PAS menawan semula Kelantan pada 1990 di bawah menteri besar Nik Aziz Nik Mat,

Mak Yong dipinggirkan sejak PAS menawan semula Kelantan pada 1990 dan larangan rasmi terhadap kesenian warisan itu dibuat pada 1998 melalui Enakmen Kawalan Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan yang diluluskan oleh DUN Kelantan.

"Sehinggalah tahun 2019 barulah Mak Yong dipersembahkan selepas hampir 30 tahun diharamkan di pentas awam.

"Walaupun begitu, wanita masih dilarang mempersembahkan Mak Yong, kandungan dan dialognya diubah suai kononnya supaya mematuhi syariah sebagaimana yang dibenarkan oleh kerajaan negeri Kelantan,” kata SIS.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menasihatkan supaya tidak menyertai Festival Bon Odori yang akan berlangsung pada 16 Julai ini.

Katanya, kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati festival itu memang ada unsur-unsur keagamaan dan "membabitkan soal agama serta akidah."

Bagaimanapun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 8 Jun pula menitahkan supaya Jabatan Agaam Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun Bon Odori di Shah Alam pada 16 Julai ini.

Gambar fail Sultan Selangor hadir Festival Bon Odori.

Sehari selepas itu, baginda bertitah mencadangkan Idris Ahmad supaya hadir sendiri melihat program sambutan Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Titah baginda, ini supaya pemimpin PAS itu dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.

Sultan Sharafuddin turut memaklumkan bahawa baginda pernah menghadiri sambutan perayaan ini pada 2016 dan menerusi pemerhatian baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan.

Dalam pada itu, SIS turut menyoal bagaimana Jakim boleh mendapatkan rumusan kajian mengenai perayaan musim panas Jepun tersebut.

Di sebalik titah sultan Selangor, SIS berkata tindakan PAS untuk terus menyeru umat Islam supaya menjauhi festival itu telah menimbulkan persoalan mengenai kuasa mana yang lebih tinggi di antara pelbagai pandangan yang dikemukakan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS