mk-logo
Berita
Rafidah: M'sia dari ada wawasan masuk kepompong 'syok sendiri'
Diterbitkan:  May 28, 2022 3:39 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Bekas menteri Rafidah Aziz mengkritik arahan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam di peringkat antarabangsa berbanding bahasa Inggeris.

“Saya bersimpati dengan pegawai Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan orang lain yang perlu berurusan dengan masyarakat asing, dalam apa jua bidang.

“Bagi Miti, para pegawai sebelum ini beroperasi dalam persekitaran dan budaya untuk mencapai kecemerlangan.

“Sekarang, warga asing merungut tentang kemunduran dasar dan fokus ini,” katanya.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan telah meminta penjawat awam menggunakan bahasa Melayu bersama-sama penterjemah dengan diplomat asing, walaupun mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Terdapat cadangan untuk melaksanakan langkah "pembetulan dan hukuman" ke atas penjawat awam yang gagal mematuhi dasar tersebut sehingga melahirkan kembimbangan disuarakan G25 sebuah organisasi dianggotai bekas kakitangan awam.

Rafidah berkata semasa berkhidmat sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri, dia telah meminta kakitangan supaya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris untuk kecekapan dan keberkesanan dalam penyampaian perkhidmatan mereka dan ia telah diluluskan oleh kabinet pada masa itu.

Rafidah ialah menteri perdagangan antarabangsa dan industri dari 1987 hingga 2008.

“Kecekapan pegawai berkomunikasi dalam bahasa Inggeris menjadi pendorong utama dan faktor penarik dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dalam bidang dan sektor yang disasarkan dan strategik.

"Malaysia sememangnya destinasi pelaburan dan perniagaan pilihan. Komunikasi harus dipermudah dan berkesan," katanya.

Visi dan tumpuan pada masa itu adalah dalam konteks Malaysia berada dalam infrastruktur serantau dan global.

"Bukan Malaysia dalam 'syok sendiri', kepompong kecil yang mencederakan dirinya sendiri.

"Jika pemikiran 'mundur' ini berterusan dengan penalti yang dikenakan kerana tidak berkomunikasi dengan seluruh dunia dalam bahasa Inggeris maka kita akan menjadi birokrasi 'pariah' di Asean, tersekat dengan banyak kelemahan," katanya.

Rafidah berkata tindakan menterjemah percakapan oleh pegawai Malaysia ke dalam bahasa Inggeris boleh memesongkan intipati isu itu, khususnya dalam hal teknikal.

"Ia tidak boleh dipertahankan dan merugikan negara kita, terutamanya kepada golongan muda untuk tidak melengkapkan mereka secara agresif dengan apa yang diperlukan untuk menguasai pengetahuan baru, teknologi komunikasi maklumat, diplomasi dan membolehkan mereka mempunyai kemahiran bahasa dan komunikasi untuk menangani dunia dengan berkesan.

"Kita sepatutnya maju dan bergerak ke hadapan, bukan mundur dan tergelincir ke belakang dan ke bawah," katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS