Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ambo (saya) pun tak tahu. Itu (tugas) kerajaan pusat.”

Begitu penjelasan ringkas menteri besar Kelantan ketika itu Allahyarham Nik Aziz Nik Mat ketika ditanya Malaysiakini berkaitan masalah air di negeri itu, kira-kira sepuluh tahun lalu.

Selepas sedekad, ketika PAS menjadi sebahagian dariapada kerajaan pusat, isu itu kembali hangat terutamanya selepas insiden kebakaran di Berek 12, Kota Bharu selepas bomba didakwa tidak cukup air.


Baca: Air cukup untuk bomba, walaupun tekanan rendah - AKSB


Umum mengetahui masalah perbekalan air terawat di Kelantan begitu sinonim dan berlarutan sejak sekian lama seolah-olah tidak berpenghujung.

Malah sehingga kini apakah inisiatif yang benar-benar memberi jaminan segala kepahitan yang dihadapi rakyat selama ini akan diselesaikan dengan tuntas?

Dalam isu ini rungutan dan aduan rakyat dilihat berpanjangan dari semasa ke semasa malah memaksa rakyat mencari alternatif sendiri untuk memastikan paip di rumah mereka sentiasa mengalirkan air.

Tidak dapat dinafikan masih ramai penduduk Kelantan mengekalkan cara tradisional iaitu penyediaan perigi di rumah untuk mendapatkan bekalan air walaupun berisiko kerana air yang digunakan tidak menjalani proses rawatan.

Selain itu, penggunaan telaga tiub juga menjadi pilihan penduduk di negeri itu untuk mendapatkan sumber air. Ia adalah penyelesaian tuntas yang ada dengan melaburkan sedikit sebanyak modal tanpa mengharapkan bekalan air yang disediakan pihak berwajib.

Kaedah-kaedah itu bagaimanapun turut mempunyai halangan kerana ia bergantung kepada kesesuaian tanah di lokasi yang digali sama ada perigi atau telaga tiub.

Jika keadaan tanah di kawasan tempat tinggal mereka bersesuaian, maka penduduk berjaya menemui penyelesaian sendiri. Namun jika keadaan sebaliknya, mereka terpaksa bergantung harap dan nasib kepada perkhidmatan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), atau kaedah lain termasuk penyediaan tandak air bagi kawasan berbukit atau pedalaman.

Secara kasarnya beberapa isu yang menjadi asas utama permasalahan yang sering membelenggu pengguna-pengguna AKSB. Terdapat masalah yang dialami itu bersifat sementara, berantai dan kekerapan terputus bekalan dengan tempoh masa yang lama.

Paip lama dan kualiti air

Masalah kualiti air sentiasa menjadi buah mulut rakyat Kelantan sehingga 'air karat' menjadi modal untuk mengkritik kerajaan negeri atau pun parti yang mewakili Kelantan iaitu PAS.

Punca masalah ini biasanya diberi alasan bahawa paip yang digunakan oleh AKSB selaku operator induk untuk menyalurkan air ke premis-premis pengguna merupakan paip lama.

Usia paip dikatakan sekitar 40 tahun yang digunakan itu menyebabkan berlaku kerosakan menyebabkan wujudnya air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) selain kualiti air yang tidak memuaskan.

Jarak paip sepanjang lebih 8,000 kilometer (km) di seluruh negeri dan dilaporkan kira-kira separuh daripada itu (lebih 4,000 km) berlaku NRW sekali gus menyebabkan bekalan air yang disalurkan 'hilang' dan yang sampai kepada pengguna tidak seperti kadar sepatutnya.

Keadaan itu antara lain juga menyebabkan perbekalan air bertekanan rendah atau mungkin kadang-kadang langsung tidak menitik di paip premis-premis pengguna.

Justeru, dalam menangani isu ini AKSB atau kerajaan negeri dilaporkan telah menukar paip baru, namun sejak 2018 hingga kini ia hanya membabitkan 578.2 km.

Namun, bagaimana dengan baki lebih 3,000 km lagi paip lagi? Apakah kerajaan negeri atau AKSB berkemampuan dan pastinya ia memerlukan belanja besar serta tempoh waktu yang panjang.

Bekalan air

Isu perbekalan air pastinya berkait langsung dengan persoalan apakah sumber air di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sebenarnya mencukupi atau sebaliknya? Ia tentunya perlu dilihat dalam banyak aspek termasuk faktor geografi yang ada di Kelantan itu sendiri.

Secara asasnya bekalan air adalah dari sumber semula jadi seperti kawasan tadahan, sungai dan air bawah tanah. Kemudian ia akan dieksploitasi biasanya melalui empangan dan takungan serta diproses di loji rawatan air (LRA) bagi mengahasilkan air terawat.

Pimpinan kerajaan Kelantan sebelum ini menegaskan sumber air di negeri itu melebihi keperluan yang kepenggunaan, namun apa yang dilaporkan menjadi halangan kini adalah ketiadaan takungan yang mencukupi untuk menampung bekalan itu.

Ini bermakna tiada masalah dari segi sumber air di Kelantan, tetapi tiada tempat untuk menyimpan atau menampung bekalan air yang banyak itu.

Pada September 2017 pihak AKSB dilaporkan merancang untuk membina empangan bawah tanah dan kajian mengenainya mengambil masa sehingga selama enam bulan, bagaimanapun sehingga kini tiada kepastian lanjut sejauh mana perkembangannya.

Pada penghujung tahun lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah, dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membina sebuah takungan besar yang dijangka dapat menyelesaikan isu perbekalan sumber keperluan asas rakyat itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man pula baru-baru ini juga memperkatakan mengenai projek takungan air pinggiran sungai (Taps) yang menelan belanja RM1.3 bilion .

Katanya, projek yang masih dalam kajian itu membabitkan tiga komponen iaitu Taps, LRA dan pemasangan paip melibatkan tanah seluas 404.6 hektar.

Loji dan masalah teknikal

Kekerapan gangguan bekalan air di Kelantan juga disebabkan berlaku kerosakan pada loji-loji utama sama ada saluran paip utama pecah atau masalah-masalah teknikal lain.

Lebih malang apabila berlaku kerosakan berulang terjadi pada loji yang sama, misalnya membabitkan Loji Rawatan Air Merbau Chondong yang hampir saban tahun dilaporkan bermasalah.

Proses membaiki paip pecah di Loji Rawatan Air Merbau Chondong

Antara masalah terbaru dialami pada minggu lepas membabitkan kerosakan kabel elektrik bervoltan tinggi di loji berkenaan.

Selain itu ada juga masalah yang didakwa membabitkan telaga-jelaga jejari yang disediakan pihak AKSB yang dikatakan gagal berfungsi yang kapasiti sepatutnya.

Sementara itu, apa yang boleh disimpulkan rantaian masalah perbekalan air di Kelantan masih kabur di mana pengakhiranya. Namun sinar dan harapan sentiasa diyakinkan oleh pimpinan kerajaan negeri, malah menteri berkaitan juga ada menyatakan sasaran bahawa bekalan air bersih di negeri itu dijangka selesai dalam tempoh empat tahun lagi.

Tuan Ibrahim sebelum ini dilaporkan sebanyak 33 projek bekalan air sedang dan akan dilaksana dari sekarang sehingga tahun 2025.

Jelasnya, projek bekalan air itu dilaksanakan dengan memfokuskan dua aspek iaitu pembangunan dan menaik taraf LRA serta pengurangan kadar air tidak terhasil.

“Sebanyak 12 projek pembangunan dan menaik taraf LRA melibatkan pembiayaan pinjaman RM176 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (Paab) dan dua projek dibiayai oleh kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan peruntukan keseluruhan berjumlah lebih RM100 juta.

“Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan LRA Merbau Chondong, LRA Tanjung Mas, LRA Felda Chiku, LRA Kampungg Telok, LRA Tualang dan 18 projek LRA mini," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini, sebelum ini.

Sehubungan itu, sudah pasti setinggi gunung harapan rakyat Kelantan yang berlindung di bawah pemerintahan lebih 30 tahun PAS ini mahukan penyelesaian total dan pengurusan lebih cekap pihak operator air dalam jangka masa yang seminimum mungkin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS