Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Beli Scorpene: PAC harus pertimbang siasat Sirul, Azilah - Kit Siang
Diterbitkan:  Apr 29, 2022 2:08 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu mempertimbangkan untuk menyoal siasat dua bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Lim berkata ini adalah perlu berdasarkan siasatan rasmi Perancis mengenai dakwaan rasuah yang melibatkan penjualan kapal selam Scorpene kepada Malaysia pada 2002.

Dalam satu kenyataan, Lim berkata PAC perlu mempertimbangkan untuk menyoal siasat Azilah Hadri, yang dijatuhkan hukuman mati, dan Sirul Azhar Umar yang kini mencari perlindungan suaka di Australia.

"(PAC harus) mempertimbangkan rayuan parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meringankan hukuman mati bagi kedua-dua pembunuh yang disabitkan kesalahan dalam usaha untuk menentukan motif pembunuhan Altantuya," kata Lim.

Mandat eksplisit PAC adalah untuk menyiasat perkara berkaitan kewangan kerajaan. Bagaimanapun, Altantuya dikaitkan dengan sekurang-kurangnya seorang yang terlibat dalam perolehan kapal selam itu.

Altantuya dibunuh pada 18 Okt 2006. Ketika Sirul dan Azilah dibicarakan atas tuduhan membunuh, terbongkar bahawa Altantuya mempunyai hubungan sulit dengan Abdul Razak Baginda, pemilik beberapa syarikat yang terlibat dalam perjanjian kapal selam Scorpene.

Sirul dan Azilah kedua-duanya disabitkan kesalahan pada 2009 tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013. Selepas dibebaskan, Sirul melarikan diri ke Australia, di mana dia kini ditahan.

Susulan itu, Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan dan mengembalikan sabitan, yang membawa hukuman mati.

Sejak kes Mahkamah Persekutuan selesai, Sirul dan Azilah terus menegaskan mereka tidak bersalah.

Azilah cuba mendapatkan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019. Dalam akuan berkanunnya, Azilah mendakwa dia diberi "perintah tembak-untuk-bunuh" oleh Najib Abdul Razak, yang menrupakan timbalan perdana menteri ketika itu, atas alasan bahawa Altantuya adalah perisik asing.

Permohonan Azilah untuk semakan tidak berjaya.

Perjanjian kapal selam itu menarik perhatian semula selepas disahkan bahawa pihak berkuasa Perancis telah memulakan penyiasatan rasmi ke atas Thales Group berhubung dakwaan sogokan yang terlibat dalam perjanjian 20 tahun lalu itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS