Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Putrajaya digesa bentang kertas putih perolehan kapal tempur
Diterbitkan:  Apr 25, 2022 5:12 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Putrajaya digesa membentangkan kertas putih mengenai perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) daripada anak syarikat Boustead Holdings yang telah lama tertangguh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai berkata kertas putih itu harus merangkumi semua aspek perolehan, termasuk lebihan kos, sebab kelewatan dan ketirisan yang terlibat dalam projek itu.

Kertas putih ialah amalan parlimen di mana kerajaan menerangkan keputusan dasar dan menjemput maklum balas orang ramai.

Wong berhujah bahawa kertas putih itu perlu kerana Malaysia mempunyai reputasi rasuah melibatkan sektor pertahanan, memetik indeks integriti pertahanan (GDI) Transparency International untuk 2020 yang memberikan Malaysia gred "D".

Malaysia berada di belakang negara jiran Filipina dan Singapura yang diberi gred “C” (risiko sederhana rasuah), manakala Taiwan adalah satu-satunya wilayah di rantau Asia Pasifik yang menerima gred “B” (risiko rendah).

Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai

Sehubungan itu, Wong berkata adalah perlu bagi kerajaan untuk mendedahkan jumlah keseluruhan dana awam yang telah digunakan untuk projek LCS dan berapa banyak lagi yang diperlukan untuk menyiapkan projek itu.

Dia turut menggesa kerajaan menyahklasifikasi laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung perolehan LCS.

JKSTUPKK, yang ditubuhkan pada Mei 2018, diketuai bekas ketua juruaudit negara Ambrin Buang, yang memberi penereangan kepada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengenai masalah yang melibatkan projek itu.

Boustead Naval Shipyard diberi projek perolehan itu pada 2011. Pada masa itu, menteri pertahanan ialah Ahmad Zahid Hamidi dan menteri kewangan ialah Najib Abdul Razak. Zahid digantikan oleh Hishammuddin Hussein pada 2013.

Kapal itu sepatutnya dihantar pada 2019. Bagaimanapun, pada September 2020, Parlimen diberitahu bahawa RM5.94 bilion telah dikeluarkan tetapi kerja-kerja kapal itu belum dimulakan.

Minggu lalu, kabinet berjanji untuk menyelesaikan projek yang telah lama tertangguh itu bagi memenuhi keperluan tentera laut Malaysia dan tanggungjawab terhadap 400 vendor yang terlibat dalam projek itu.

Menteri Pertahanan Hishammuddin berjanji bahawa proses itu akan telus, tanpa ketirisan, salah guna kuasa atau rasuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS