Menteri kewangan, Tengku Zafrul Aziz digesa supaya mengkaji masalah penangguhan dan keengganan bank tempatan untuk meluluskan permohonan akaun bank baru oleh persatuan.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata dia menerima banyak aduan daripada persatuan-persatuan yang baru diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mendakwa menghadapi masalah untuk membuka akaun bank tempatan
"Masalah ini telah wujud sejak beberapa tahun yang lepas khususnya selepas berlakunya skandal 1MDB. Ia menjadi lebih serius sekarang kerana lebih sekatan dan penangguhan dikenakan oleh pengurusan bank terhadap persatuan yang memohon pembukaan akaun bank.
"Ramai pemegang jawatan persatuan berkata permohonan membuka akaun di bank ditangguh lama tanpa diberi apa-apa alasan oleh pihak bank, walaupun mereka telah melalui proses permohonan dan siasatan latar-belakang yang rumit oleh pihak bank.
"Pegawai-pegawai bank yang saya temui tidak dapat memberi alasan yang munasabah kepada saya tentang sebab penangguhan pembukaan akaun bank mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini
Teresa berkata ada di antara pengurus bank berkata mereka bimbang persatuan akan menggunakan akaun bank mereka untuk melakukan jenayah seperti pengubahan wang haram seperti dalam kes 1MDB.
Katanya, bank adalah institusi yang memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada masyarakat sepatutnya memberi kemudahan kepada persatuan yang telah mendapat kelulusan ROS.
Tambahnya, bank tidak seharusnya mengambil alih peranan polis ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau aktiviti kewangan persatuan dan menangguhkan permohonan akaun bank mereka tanpa alasan.
Oleh itu dia menyeru Tengku Zafrul supaya mengambil perhatian terhadap perkara itu dengan mengambil tindakan sewajarnya.
"Keengganan bank meluluskan akaun baru yang dipohon oleh persatuan-persatuan bukan saja tidak dapat mencegah aktiviti kewangan haram seperti pengubahan wang haram, tetapi sebaliknya ia akan menyumbang kepada ketidaktelusan pada persatuan-persatuan.
"Saya menyeru Menteri Kewangan Tengku Zafrul memandang serius tentang masalah yang dihadapi oleh persatuan-persatuan ini dan mengambil langkah yang wajar untuk mengatasinya," katanya lagi.