mk-logo
Berita

Seorang ahli perniagaan yang sedang menghadapi pertuduhan membunuh pengawal keselamatan S Thava Sagayam akan dibicarakan sepenuhnya pada Mei tahun depan.

Mahkamah Tinggi Ipoh ditetapkan untuk mendengar kes terhadap tertuduh Ahmad Noor Azhar Muhammad, berusia 34 tahun, selama tujuh hari mulai 22 Mei 2023.

Peguam kepada tertuduh, Ariff Azami Hussein mengesahkan bahawa pesuruhjaya kehakiman Su Tiang Joo akan mengetuai prosiding itu.

Tambahnya, perkara itu dibawa untuk sebutan di mahkamah pada 30 Mei tahun ini.

Pada Januari tahun lalu, Ahmad Noor Azhar pada mulanya didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa berusia 64 tahun, yang ketika itu masih hidup.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan awal dan membawa pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap tertuduh berikutan kematian Thava Sagayam Ogos lalu.

Tertuduh kini berada dalam tahanan sementara perbicaraan kerana membunuh merupakan satu kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Thava Sagayam diserang pada 29 Disember tahun lalu ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Ipoh. Rakaman kejadian tular di media sosial.

Dia menghabiskan lapan bulan berikutnya untuk rawatan dan meninggal pada 28 Ogos.

Dilaporkan bahawa isteri mendiang telah melantik Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran sebagai peguam pemerhati.

Peguam lain untuk keluarga Thava Sagayam ialah A Sivanesan, Selvam Nadarajah dan Omar Kutty.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS