Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Ada Melayu dapat manfaat ketika 'pelindung' hidup mewah?
Diterbitkan:  Apr 6, 2022 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahmad menyangkal dakwaan bahawa orang Melayu memerlukan pelindung kerana mempunyai mentaliti neofeudal dan berpuak.

Syed Saddiq juga berkata ahli politik yang mendakwa diri mereka melindungi orang Melayu sebenarnya tidak berbuat apa-apa, dan pada masa sama hidup mewah.

“Apabila lebih 600,000 isi rumah M40 tergelincir ke kumpulan B40, adakah orang Melayu terlindung dari krisis ini?

Apabila ramai rakyat terpaksa mengibarkan bendera putih kerana tidak cukup makan minum, adakah orang Melayu terlindung dari lapar dan sakit?

“Apabila rakyat lihat gaya hidup pemimpin politik Melayu yang ada jam tangan mewah berharga ratusan ribu ringgit atau rumah sebesar istana dan kereta mewah anak-anak mereka, adakah orang Melayu juga dapat menikmati kehidupan mewah begini?” soal ahli parlimen Muar itu di Facebook hari ini.

Dia mengulas kenyataan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa orang Melayu memerlukan pelindung.

Dia kemudian menjelaskan tidak bersetuju dengan mentaliti itu, tetapi berkata ia tetap satu hakikat.

Katanya, politik identiti kekal sebagai faktor utama di Malaysia dan parti “tengah-kiri” seperti Muda memperkecilkan faktor itu.

Namun bagi Syed Saddiq, ia adalah taktik yang biasa digunakan oleh mereka yang ingin menjauhkan rakyat Malaysia dengan parti yang inklusif seperti Muda.

“Di Parlimen Muar, saya tidak pernah mengasing-asingkan bantuan dan sokongan kepada keluarga Melayu, Cina atau India, yang sokong Umno, Muda atau PAS.

“Sama juga di peringkat nasional, saya percaya orang Melayu kita wajib bantu, orang Cina dan India wajib bantu, orang Sabah dan Sarawak, Perlis ke Johor, Kelantan ke Pahang semua perlu dibantu,” katanya lagi.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS