Dua tahun masyarakat Malaysia 'dikepung' wabak Covid-19 dan pergerakan dikongkong oleh pelbagai prosedur operasi standard (SOP). Kini perlahan-lahan jalan keluar di hujung terowong mula kelihatan.
Antara sambutan Ramadan yang kembali memeriahkan bulan istimewa itu ialah iklan bufet hotel-hotel yang kembali muncul selepas ia seakan-akan sudah hilang ditelan zaman setahun dua lalu.
Tinjauan Malaysiakini ke hotel di sekitar Putrajaya menunjukkan rata-rata mereka sudah bersedia untuk menerima semula kunjungan orang ramai yang hendak berbuka puasa.
Lampu hiasan berupa ketupat, bulan, dan bintang digantung di lobi hotel, manakala iklan kain rentang pakej berbuka dipacak di laluan masuk.
Ia suatu pemandangan yang janggal untuk dilihat pada sambutan Ramadan semasa Malaysia - dan dunia - dikekang Covid-19.
Pengurus makanan dan minuman (F&B) sebuah hotel di Putrajaya berkata sektor pelancongan dan perhotelan terjejas teruk ketika krisis Covid-19 melanda negara.
Ramadan kali ini, katanya, adalah peluang yang ditunggu-tunggu untuk menebus semula kerugian yang dialami.
“Ramadan pada 2020 memang tak ada bufet berbuka langsung kerana total lockdown.
"Ramadan tahun lalu, sesetengah hotel mungkin ada yang buat, tapi mengikut SOP yang ketat dan ketika itupun masih ramai yang takut untuk keluar.
“Maka Ramadan ini diharap keadaan dapat kembali semula seperti sebelum Covid-19,” katanya.
Ada hari dah penuh
Kelonggaran SOP yang diumumkan kerajaan pada 1 April juga disambut dengan tangan terbuka oleh hotel yang menganjurkan bufet berbuka puasa.
“Jika dilihat pada Ramadan 2021, SOP yang memerlukan penjarakan fizikal di kafe hotel menyebabkan kami tidak dapat mengambil masuk tempahan berbuka dengan banyak.
“Bufet berbuka puasa merupakan lubuk pendapatan kami yang utama (kerana) ketika itu tak ramai orang yang nak bermalam di bilik kami.
"Pelanggan yang mahu menggunakan bilik mesyuarat atau dewan untuk seminar atau seumpama dengannya juga tak ramai," tambahnya lagi.
Hal itu turut disokong pengurus komunikasi pemasaran sebuah hotel lain.
Katanya penjarakan sosial di tempat makan menghalang hotelnya daripada memanfaatkan sepenuhnya potensi yang tersedia.
“Meja yang berjarak jauh dan setiap meja hanya boleh muatkan enam orang sahaja untuk satu keluarga, maka kami tak dapat menempatkan ramai pelanggan seperti selalu.
“Kami menyimpan harapan agar Ramadan kali ini semuanya dapat kembali kepada keadaan normal,” katanya.
Tempahan awal bufet berbuka puasa boleh dikatakan mendapat sambutan yang positif setakat ini ketika bulan Ramadan bermula hari ini.
“Baucar early bird (penempah awal) berbuka kami yang menyediakan diskaun boleh dikatakan mendapat sambutan yang baik.
“Berbuka puasa di hotel biasanya akan penuh pada hujung minggu, iaitu dari Jumaat sehingga Ahad,” tambahnya lagi.
Sebuah hotel lain ketika dihubungi Malaysiakini menyatakan walaupun bulan Ramadan belum tiba tetapi sudah ada hari untuk berbuka puasa yang penuh ditempah.
“Ada hari dalam minggu pertama bulan Ramadan yang sudah penuh pun ditempah awal, mungkin ramai yang bersemangat dan rindu untuk merasai bagaimana suasana berbuka puasa di hotel.
“Hujung minggu berbuka puasa kebiasaannya akan dipenuhi dengan ahli keluarga manakala pada hari minggu diambil alih oleh organisasi korporat,” katanya.