Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Madinah Al-Salam, bandar pintar Kelantan bernilai RM80 juta
Diterbitkan:  Mar 28, 2022 8:09 PM
Dikemaskini: 12:09 PM

Pembinaan bangunan Madinah Al-Salam sebagai bandar baru pintar di Mukim Tiong, di Kota Bharu, bernilai RM80 juta dijangka memberi kesan positif serta merancakkan ekonomi di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata projek yang termasuk dalam pelan strategik kerajaan negeri bagi tempoh 2016 sehingga 2025 itu akan dilengkapi dengan pelbagai komponen pembangunan sekali gus menjadikan ia sebagai bandar tersusun dan terancang.

Katanya, komponen yang akan dibangunkan adalah berkonsepkan Bandar Islamik termasuk Kompleks Masjid, Dewan Serba guna, Kompleks Sukan Renang, Kompleks Kebajikan, Kompleks Muzium dan Taman Awam hutan bandar dan ‘Quranic Garden’.

“Projek seluas 116 ekar (6.47 hektar) ini merupakan satu daripada projek utama kerajaan negeri ke arah merealisasikan matlamat dalam pelan strategik yang akan memberi kesan positif kepada ekonomi serta rakyat di Kelantan.

“Malah, ia juga dilihat sebagai pelaburan yang berpotensi tinggi melalui sektor perkhidmatan, perniagaan, ekopelancongan dan sebagainya yang memberi manfaat lebih baik dan kondusif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Madinah Al-Salam, Mukim Tiong, di Kota Bharu hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain mengenai sambutan bulan Ramadan yang bakal tiba, Ahmad berkata rakyat negeri itu tidak digalakkan untuk berbuka puasa di tempat awam dan tempat rekreasi sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Kami mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk makan secara bungkus sahaja dan sebaik-baiknya hanya berbuka puasa di rumah masing-masing.

“Memandangkan negara kita dalam proses beralih ke fasa endemik, saya minta rakyat bersabar sedikit sahaja untuk terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baru, apabila keadaan sudah stabil, kita akan hidup sedikit bebas,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS