Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya tak dimaklumkan agar kerja secara sendiri - bekas pengarah 1MDB

Arahan yang didakwa dari ahli perniagaan, Low Taek Jho bahawa pengurusan 1MDB perlu bekerja secara bersendirian(silo) tidak boleh menjadi alasan untuk mengelak tanggungjawab, menurut Ismee Ismail.

Bekas ahli lembaga pengarah 1MDB itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa dia tidak pernah dimaklumkan oleh pengurusan bahawa mereka diarah berbuat demikian oleh Low (juga dikenali sebagai Jho Low).

Saksi pendakwaan ke-13 itu bersetuju semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah semasa perbicaraan rasuah membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Dalam prosiding lalu di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman serta bekas ketua pegawai kewangannya Azmi Tahir memberi keterangan bagi pihak pendakwaan bahawa mereka diberitahu oleh Low untuk bekerja bersendirian.

Dalam prosiding sebelum ini, pasukan peguam Najib berhujah bahawa bekas perdana menteri itu tidak tahu mengenai salah laku dalam 1MDB, dan ia dilakukan oleh ahli pengurusan yang bersekongkol dengan Low.

Pihak pendakwaan bagaimanapun membantah dengan mengatakan Low bertindak atas kuasa yang diberikan oleh Najib, yang juga menteri kewangan ketika itu serta pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Shafee: Tiga saksi (Shahrol, Hazem dan Azmi) kata mereka bekerja secara silo (seperti yang didakwa diarahkan oleh Low). Saya mencadangkan kepada anda bahawa bekerja secara silo adalah alasan setiap saksi. Mereka datang ke sini, supaya mereka boleh mengelak daripada menjawab mengapa mereka tidak menyemak dokumen ( pemindahan dana daripada 1MDB).

Mengapa mereka menghantar RM1 bilion (daripada dana 1MDB) kepada entiti (salah satu syarikat yang didakwa Low) yang tiada kaitan dengan projek itu (usaha sama antara 1MDB Malaysia dan Petrosaudi International Abu Dhabi).

Ismee: Pada pandangan peribadi saya, anda tidak boleh menggunakan itu sebagai alasan.

Perbicaraan di hadapan Sequerah ditetapkan untuk disambung semula pagi esok.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS