Berpeluang mengundi buat pertama kali pada pilihan raya negeri (PRN) Johor hari ini jelas memberikan rasa teruja buat pengundi muda terutama dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun.
Buat pertama kalinya, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun dibenarkan mengundi dalam pilihan raya apabila PRN Johor melaksanakan Undi18 dan pendaftaran automatik, yang menjadi medan pertama bagi mereka berbuat demikian.
Rata-rata mereka sedar akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, justeru turut turun awal ke pusat mengundi yang ditetapkan bagi memastikan mereka sama-sama menyumbang dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
Mohamad Rizza Mohd Jamil, 20, yang baru sahaja seminggu melaporkan diri di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) Melaka, sanggup pulang untuk menunaikan tanggungjawabnya dengan harapan wakil rakyat yang dipilih boleh membantu anak muda untuk mendapatkan pekerjaan.
“Saya berharap agar peluang pekerjaan dapat diperbanyakkan untuk golongan muda agar mereka dapat menunjukkan bakat selepas menamatkan pengajian mereka,” katanya kepada Bernama selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tun Aminah Dua, Skudai, Johor Bharu, pagi ini.
Bagi anak sulung calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas Nornekman Osman, Aleesya Nornekman, yang selesai mengundi bersama bapa dan ahli keluarganya di pusat mengundi SK Larkin (1), di sini, menyifatkan ia satu pengalaman baharu dan berharga baginya.
“Saya teruja dapat menunaikan tanggungjawab kerana dapat memilih sendiri wakil rakyat. Sejak kecil lagi, memang tak sabar hendak mengundi pada pilihan raya,” kata cucu bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Osman Sapian itu.
Aleesya, 20, yang akan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Cambridge United Kingdom Ogos ini, turut menyeru pengundi baharu dan muda untuk menunaikan tanggungjawab mereka kali ini.
Sementara itu, S. Daarshini, 19, menyifatkan ini peluang terbaik baginya memilih wakil rakyat kerana sering mengikuti perkembangan politik negara.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan politik di media sosial sejak pengumuman PRN Johor diumumkan, akhirnya hari ini saya berpeluang mengundi. Sememangnya saya gementar kerana ini adalah pertama kali mengundi dan nasib baik saya datang bersama kakak, yang bertugas di sini,” katanya selepas mengundi di SK Taman Rinting 1, Pasir Gudang, bagi kerusi DUN Permas.
Mengundi di sekolah yang sama, Nur Farisha Wahidah Mostafa Zakaria, 19, merasakan ini adalah peluang yang terbaik bagi orang muda membuat pilihan dan berharap mereka juga akan membuat pilihan yang terbaik.
Di KULAI, tinjauan Bernama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kulai 1 mendapati terdapat beberapa pengundi muda pada awalnya terkeliru dengan saluran mengundi kerana ada yang mengambil pendekatan untuk beratur di saluran ibu bapa mereka kerana difahamkan satu keluarga dalam saluran yang sama.
Bagaimanapun tindakan pantas petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengenal pasti pengundi muda ini berjaya membantu mereka untuk mengundi di saluran yang betul, malah mereka memuji petugas SPR dan proses pengundian yang mudah dan cepat.
Lim Chia King, 19, pada awalnya gemuruh dan takut namun tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia
“Ini pertama kali mengundi, memang takut la, saya takut tersalah buat.. tapi sebenarnya senang la prosesnya,” kata Lim.
Senada dengan Lim, Han Wei Fang, 19, berterima kasih kepada petugas SPR yang membantunya mengundi di saluran yang betul.
Di MUAR pula, Adam Najmi Mat Noh, 20, yang ditemui melahirkan rasa cemas kerana mengundi kali pertama.
“Mula-mula terkejut sebab melihat ramai sangat orang beratur untuk mengundi. Saya memang tidak tahu apa-apa tetapi alhamdulillah, petugas SPR bantu,” kata pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia itu, yang mengikuti kempen di laman Facebook sahaja sepanjang tempoh berkempen.
Seramai 173,177 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun layak mengundi pada pilihan raya negeri kali ini, yang menyaksikan 239 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN.
- Bernama