PARLIMEN | Gobind Singh Deo (PH-Puchong) mempersoalkan sikap Peguam Negara (AG) Idrus Harun yang menurutnya berdiam diri berhubung beberapa isu perundangan yang menjadi perhatian di negara ini.
Gobind turut mempersoalkan status kedudukan AG memandangkan tempoh Idrus memegang jawatan itu sepatutnya tamat semalam, tetapi setakat ini belum ada sebarang pengumuman berhubung perkara itu.
“Nampak seolah-olah pada masa ini kita tiada AG. Saya nak minta kerajaan beri penjelasan apa telah berlaku.
“Ini sangat penting kerana kita lihat banyak kes besar sedang berlaku…Kes-kes ini menarik perhatian bukan saja di rantau ini tetapi seluruh dunia.
“Adakah pelantikan atau tiadanya pelantikan AG ini akan beri kesan kepada kes-kes tertentu?” soalnya ketika sesi perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Gobind juga membangkitkan apa yang disifatkan sebagai sikap “sunyi sepi” oleh Idrus, termasuk dalam kes melibatkan tuntutan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) oleh waris terakhir sultan Sulu.
“Jumlah (tuntutan) cukup besar. Dalam keadaan seperti ini, kenapa tiada kenyataan daripada AGC (pejabat peguam negara)?
“Takkan kita ada AG yang (hanya) duduk dan tak beri sebarang penjelasan. Malaysia tak diwakili dalam kes ini. Kita nak tanya kenapa,” soalnya lagi.
Gobind berkata Idrus juga perlu menjelaskan beberapa keputusan yang dibuat AGC termasuk ketika mereka membatalkan pendakwaan terhadap mana-mana pihak.
Katanya lagi, ada juga persoalan dalam kes melibatkan suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz, Tawfiq Ayman, antaranya kenapa seperti tiada perkembangan dalam siasatan terhadapnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata AGC telah mengarahkan polis untuk membuat siasatan lanjut berkenaan kes itu di Singapura, dan pada masa ini tidak dapat berbuat demikian ekoran penutupan sempadan antara dua negara.
Namun Gobind menolak penjelasan itu dan berkata tiad sebab untuk siasatan dihentikan ekoran penutupan sempadan.
“Bukan itu saja, saya lihat banyak wakil kerajaan pergi ke Singapura. Ada ruang untuk kita teruskan siasatan,” katanya lagi.