Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Calon BN Paloh: Harga minyak sawit naik lepas PH disingkirkan
Diterbitkan:  Mar 5, 2022 9:30 AM
Dikemaskini: 1:30 AM

PRN JOHOR | Calon BN untuk Paloh Lee Ting Han menyalahkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) susulan harga minyak sawit yang rendah sebelum ini.

Menyedari bahawa ramai pengundi Paloh berada dalam industri minyak sawit, Lee berkata tindakan PH menangani boikot luar negara yang lemah menyebabkan harga rendah.

“PH gagal mendapatkan kerjasama asing untuk eksport minyak sawit. Oleh itu, pendapatan (pengundi Paloh) merosot.

"Selepas PH disingkirkan, harga naik. Ini kerana menteri luar negeri pada masa itu - Hishammuddin Hussein - telah berjaya meyakinkan negara lain untuk mengimport minyak sawit," katanya dalam wawancara dengan Utusan Malaysia.

Lee, 32, adalah seorang peguam dan membuat penampilan pertama dalam pilihan raya menentang penyandang kerusi Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dari DAP.

Semasa pilihan raya umum (PRU) 2018, Sheikh Umar merampas kerusi itu daripada BN buat kali pertama dengan majoriti tipis hanya 783 undi. Sebelum ini BN memegang kerusi itu selama tujuh penggal.

Lee percaya BN mempunyai peluang yang besar untuk memenangi semula kerusi itu kerana pengundi menyokong penyandang menteri besar Hasni Mohammad.

“Malaysia menderita selepas PH mengambil alih pada 2018. Walaupun BN akhirnya kembali berkuasa, majoriti di DUN terlalu kecil.

“Justeru, kita memerlukan mandat besar agar Johor menjadi destinasi utama pelabur, seperti sebelum pilihan raya lalu,” katanya.

Lee berkata tumpuan utamanya ialah pekerjaan dan perumahan untuk kawasan pilihan raya Paloh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS