Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Biden perintah larang dagangan, pelaburan di timur Ukraine

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menandatangani perintah eksekutif menghalang sebarang pelaburan, perdagangan dan pembiayaan baharu ke atau dari wilayah Donetsk dan Luhansk di timur Ukraine, menurut Rumah Putih pada Isnin.

Perintah itu turut mengenakan sekatan ke atas mana-mana individu yang berhasrat untuk beroperasi di dua kawasan itu selain melarang barangan, perkhidmatan atau teknologi dari wilayah terbabit diimport ke AS secara langsung atau tidak langsung, lapor Agensi Anadolu.

Langkah itu diambil selepas Presiden Vladimir Putin mengumumkan Rusia mengiktiraf wilayah Donetsk dan Luhansk sebagai “dua republik merdeka” pada Isnin.

“Tindakan Presiden Putin bercanggah dengan komitmennya di bawah perjanjian Minsk, sekali gus menafikan komitmen Rusia yang didakwa mendukung diplomasi, serta menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine,” lapor Anadolu memetik kenyataan berasingan Rumah Putih.

Situasi di timur Ukraine dikatakan semakin tegang termasuk laporan pelanggaran gencatan senjata, beberapa insiden tembakan, dan pemindahan orang awam dari wilayah pro-Rusia di Donetsk dan Luhansk.

AS dengan sekutu Eropah mendakwa Rusia sedang mengatur strategi menyerang Ukraine dengan menempatkan lebih 100,000 tentera dan peralatan perang berhampiran sempadannya.

Rusia menafikan pihaknya sedang membuat persiapan untuk menyerang, sebaliknya menuduh negara-negara Barat menjejaskan keselamatannya melalui penambahan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sempadan negaranya.

Pada 2014, Moscow menyokong puak pemisah di timur Ukraine menentang kerajaan pusat, satu dasar yang kekal sejak itu. Konflik itu telah meragut lebih 13,000 nyawa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS