Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hanipa jawab Hadi: Amanah ditubuh dek kelemahan presiden PAS
Diterbitkan:  Feb 20, 2022 3:11 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Anggota Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin 'memulangkan paku buah keras' kepada Abdul Hadi Awang susulan dakwaan Presiden PAS itu mengenai penubuhan Amanah dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Walaupun tidak menyebut nama Abdul Hadi secara khusus, bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu membidas Abdul Hadi atas kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

Kata Hanipa sebagai seorang tokoh yang dianggap ulama, Abdul Hadi sepatutnya tahu mengenai dosa berbohong.

"Bagaimana jika tuduhan YB (Abdul Hadi) itu adalah dusta dan YB sendiri pun tahu ia dusta?

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti Muda, tetapi saya tahu dan arif sangat tentang sejarah penubuhan Amanah, kerana sejak dari awal saya terlibat secara aktif dalam penubuhan parti ini.

"Dan saya berani kata tidak ada sebarang penglibatan DAP. Dakwaan YB itu terlalu mengarut," tanyanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Abdul Hadi - semasa berucap di Johor - mendakwa Muda dan Amanah sebagai parti yang tertubuh dengan kehendak DAP.

"Amanah itu DAP yang cipta, nak tarik orang PAS. Sekarang, ada parti Muda, itu pun anak DAP juga," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Johor yang berlangsung di Kota Tinggi, kelmarin.

Diam apabila ada cacian

Dakwaan mengenai penglibatan DAP dalam penubuhan Amanah - yang ditubuhkan hasil krisis dalaman PAS pada 2015 - bukanlah pertama kali diucapkan Abdul Hadi.

Sebelum itu ahli parlimen Marang berkenaan pernah mendakwa DAP adalah "anak tahi" kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura.

Hanipa berkata, Abdul Hadi mungkin tidak suka dengan penjelasannya namun sekiranya anggota Parlimen Marang itu seorang yang jujur dia perlu bermuhasabah dan menerima hakikat.

"Suka tidak suka mungkin YB kena akui antara punca utama penubuhan Amanah adalah datang dari YB atau hasil kelemahan kepimpinan YB sendiri," tegasnya.

Ahli Jawatankuasa Amanan Nasional itu turut mempersoalkan sama ada Abdul Hadi sudah lupa atau tidak kalimah "barua" yang dilafazkannya terhadap pemimpin dan ahli PAS yang tidak sehaluan dengannya semasa parti itu mengadakan muktamar di Kuala Selangor pada 2015.

"YB sudah juga lupa fenomena cai semasa proses pemilihan di muktamar di Kuala Selangor ?

"Atau YB juga sudah lupa tindakan YB sendiri yang tidak menghormati keputusan mesyuarat parti mengenai keputusan berhubung pencalonan menteri besar Selangor?

"YB yang tidak hormat keputusan parti, Presiden Amanah (Mohamad Sabu) yang dituduh ayam daging kerana secara amanah bawa keputusan parti dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat," kata Hanipa.

Dia juga meningatkan bagaimana ahli parlimen Marang itu berdiam diri apabila pemimpin PAS yang tidak sehaluan dengannya dilabel dengan pelbagai cacian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS