Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini bertikam lidah dengan Ahli Parlimen Kangar Amin Ahmad daripada parti sama di media sosial.
Rafizi membalas ciapan Twitter Amin selepas anggota parlimen Kangar itu menyarankan Rafizi bertemu anggota parti terlebih dahulu selepas mengambil cuti daripada politik.
Menganggap kenyataan Amin seperti “mengungkit” perkara lama, Rafizi membalasnya dengan berkata Amin juga jarang ada di Kangar sebelum menang di parlimen itu pada 2018.
“Sama macam saudara jarang sangat ada di Kangar sebelum 2018, tapi saya jemput dan kempen juga dan push sampai menang kerusi Kangar walaupun orang Kangar pun tak kenal.
“Tak pula saya ungkit macam ini. Pandangan saja. Kempen di Twitter ini mudah,” katanya sambil menggunakan emoji ketawa.
Amin sebelum itu menjawab seorang penguna maya yang berkata Rafizi calon yang sesuai untuk bertanding jawatan timbalan presiden PKR, jawatan kedua terpenting selepas Anwar Ibrahim.
Amin berkata perkara itu tiada masalah dalam demokrasi tetapi dia merasakan Rafizi lebih sesuai bertanding jawatan naib presiden saja.
“Tak ada masalah. Demokrasi. Saya OK. Rafizi memang seorang calon popular. Cuma bila beliau ambil cuti selepas dilantik, saya fikir elok beliau kembali berperanan jumpa anggota parti semula. Saya akan undi jika dia tanding naib presiden dulu,” katanya.
Mereka kemudian saling jawab berbalas ciapan dengan Rafizi mengungkit mengenai duit deposit ketika Amin bertanding.
“Lupa nak cakap. Duit deposit pilihan raya pun kami yang bayar.
“Masa tu tak timbul pulak kena jumpa anggota parti dulu, soal bercuti dan lain-lain. Asal masuk kat dia,” kata Rafizi yang turut menambah bahawa calon ketika itu juga diberikan “duit poket belanja”.
Amin kemudian mengakui menerima tawaran pinjaman RM10,000 semasa kempen dan menjelaskan ia sudah dibayar semula.
“Saya tak pasti bab deposit PRU tu. Tapi memang Rafizi ada tawarkan pinjaman RM10,000 semasa kempen dan saya sudah bayar semula.
“Saya cerita tentang pinjaman ini kepada semua orang sebab saya bukan orang senang. Tapi saya tak ada terima duit deposit. Boleh semak semula,” katanya.
Rafizi kemudian membalas: “Memanglah duit deposit PRU macam tu. Calon kena keluarkan. Selalunya parti bayar.
“Dlm PRU lepas sebahagian besar kami kena raise fund untuk bayar sebab parti pun susah. Dah habis bertanding kena pulang lah duit deposit tu. Bukan simpan,” katanya.
Amin menafikan menerima sebarang duit poket belanja dan sebaliknya hanya “pinjaman beraku janji” yang disediakan Rafizi.
Perkembangan ini hadir ketika pemilihan PKR dijangka diadakan pada April depan.
Sebelum berundur sepenuhnya daripada politik pada penghujung 2019, Rafizi merupakan watak yang berpengaruh dalam PKR dan dianggap salah seorang penasihat yang paling diyakini Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Bekas ahli parlimen Pandan itu juga dikenali sebagai individu yang mendedahkan beberapa skandal melibatkan kerajaan BN sebelum ini.
Kini penyokong Rafizi mendesak agar dia kembali aktif. Namun kata Rafizi, ada banyak pertimbangan yang perlu diambil kira sebelum dia bersedia memenuhi gesaan tersebut.
Rafizi juga menyatakan keraguan jika kemunculan semula dalam politik itu berbaloi kepada PKR dan rakan partinya yang mungkin kurang senang dengan pendekatan "radikalnya".