Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: Kalau dedah 1MDB dianggap pengkhianat, biarlah
Diterbitkan:  Feb 11, 2022 4:39 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Muhyiddin Yassin berkata jika kerana mendedahkan skandal 1MDB yang memalukan negara suatu ketika dulu maka dia dilabel oleh Umno sebagai pengkhianat, Presiden Bersatu itu tetap rela.

Katanya kerana skandal yang melibatkan Najib Razak itu orang Melayu dan Malaysia diaibkan serta dipandang hina di seluruh dunia.

"Apakah orang Umno tidak tahu bahawa punca mereka kalah adalah kerana Najib menyeret parti dalam skandal beliau?

"Jika saya dianggap pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat dalam UMNO, saya rela dengan gelaran tersebut," katanya dalam kenyataan umum hari ini.

Kata ahli parlimen Pagoh itu lagi Umno sebenarnya cuba menutup hakikat bahawa parti itu sudah dikhianati oleh bekas presiden mereka sendiri, iaitu Najib.

Najib, kata Muhyiddin, membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci Umno.

Muhyiddin yang sempat menjadi perdana menteri selepas meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan Umno serta PAS untuk membentuk kerajaan baru di luar pilihan raya menambah sebelum ini dia dipecat kerana menyarankan skandal 1MDB disiasat secara telus.

Minta campur tangan

Kini, katanya, terbukti perjuangannya adalah "benar".

"Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB.

“Jelas skandal 1MDB bukan satu fitnah. Bukan satu rekaan,” katanya lagi.

Muhyiddin merupakan timbalan presiden Umno yang juga timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Najib tetapi dipecat kerana lantang bersuara mengenai isu 1MDB.

Dia kemudian mengasaskan Bersatu bersama beberapa bekas pemimpin Umno, dan bekerjasama bersama PKR, DAP dan Amanah bagi menumbangkan Umno-BN pada pilihan raya umum 2018.

Muhyiddin kemudian membawa Bersatu keluar daripada PH dan bekerjasama dengan Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan PN yang diterajuinya.

Namun dia juga ditumbangkan juga pada Ogos tahun lalu melalui langkah yang digerakkan Umno.

Tempat Muhyiddin selaku perdana menteri kemudian digantikan oleh Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang mengasaskan kerajaan Keluarga Malaysia.

Di sebalik ketegangan hubungan di antara Umno dan Bersatu-PN, kedua-dua parti kekal bekerjasama.

Muhyiddin turut menempelak kluster mahkamah di dalam Umno yang dakwanya cuba meminta dia campur tangannya dalam kes mereka agar dibebaskan.

Siapa pengkhianat sebenar

Kejadian itu katanya berlaku seawal beberapa hari dia dilantik menjadi perdana menteri.

Setelah cubaan itu tidak berjaya, dakwa Muhyiddin, pemimpin Umno cuba menjatuhkannya supaya mereka dapat berkuasa, dan kini mahu menyingkirkan PN daripada kerajaan agar kerajaan dikuasai sepenuhnya parti Umno, yang dikuasai oleh kluster mahkamah.

Katanya, pilihan raya negeri (PRN) - termasuk di Johor nanti - merupakan cara kluster terbabit untuk kembali berkuasa.

Jika memenangi PRN Johor nanti, kata pengerusi PN itu, Umno akan mendesak perdana menteri membubarkan parlimen.

“Jika parti mereka menang dalam pilihan raya, lazimnya yang akan diangkat menjadi perdana menteri adalah presiden parti.

“Jika ini berlaku, maka lengkaplah perancangan kluster mahkamah. Mereka akan kembali berkuasa dan selesailah masalah mereka, na’uzubillah.

“Jadi siapa sebenarnya pengkhianat? Saya atau mereka?” soalnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS