Ketetapan dasar mengenai peruntukan akta antilompat parti dan had tempoh jawatan perdana menteri telah dibentangkan kepada ahli parlimen bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dasar tersebut dibincangkan oleh Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik pada 25 Jan lepas.
"Sesi libat urus bersama ahli Dewan Rakyat dan (ahli) Dewan Negara mengenai peruntukan tersebut diadakan pada hari ini dan semalam di Parlimen.
"Ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan wakil-wakil rakyat dan senator mengenai cadangan peruntukan itu," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.
Wan Junaidi berkata dia bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua parti komponen dan ketua parti bagi mendapatkan persetujuan berkaitan dasar dan perundangan yang dicadangkan.
Katanya cadangan mengenai peruntukan itu juga akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dipengerusikan bersama wakil kerajaan dan pembangkang setelah dimurnikan dan dimuktamadkan dengan semua pihak berkepentingan.
Wan Junaidi memaklumkan dia yakin kedua-dua sesi itu dan sesi-sesi akan datang dapat memberikan penerangan dan maklumat secukupnya kepada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengenai cadangan tersebut.
"Pada masa sama, selain pengukuhan inisiatif dwipartisan, ia juga dapat memastikan cadangan peruntukan ini akan disokong dan dipersetujui di parlimen kelak,” katanya.
- Bernama