Pelajar Universiti Malaya (UM) menyuarakan kebimbangan berhubung keputusan universiti itu untuk meneruskan peperiksaan secara fizikal bagi sejumlah fakulti.
Keputusan itu di saat peningkatan jangkitan varian Omicron di seluruh negara dan bantahan daripada perwakilan pelajar. Peperiksaan akhir bermula semalam (7 Februari).
Tony (bukan nama sebenar) adalah antara pelajar yang terkesan dengan keputusan tersebut.
Bercakap dengan Malaysiakini, dia berkata pada mulanya tiga fakulti yang merancang mengadakan peperiksaan secara fizikal: Kejuruteraan, Sains Sukan dan Alam Bina.
Namun katanya, selepas tekanan daripada badan pelajar, Fakulti Sains Sukan akhirnya mengadakan peperiksaan secara dalam talian.
“Apabila ada duluan seperti itu, ia bermakna sebuah fakulti menyatakan tidak selamat untuk kami membuat peperiksaan secara fizikal.
“Kami fikir ia bermakna semua fakulti secara automatik akan membuat keputusan sama, tapi fakulti kejuruteraan beritahu yang mereka tidak dapat membuat pemeriksaan dalam talian kerana mereka tidak menyediakan modul dalam talian,” katanya.
Katanya lagi, modul peperiksaan dalam talian adalah percubaan universiti dalam peralihan digital dan ia dianggap lebih telus.
“Dengan peperiksaan fizikal, soalan tidak terlalu terbuka atau mungkin tidak begitu kompleks, berbanding pemeriksaan dalam talian kerana ia lebih sukar bagi mengelakkan peniruan secara terus.
“Apabila mereka (pihak fakulti) memutuskan untuk melakukannya (secara fizikal), mereka berkata kertas soalan tidak cukup bagus untuk dibuat secara dalam talian.
“Oleh sebab itu, mereka tidak dapat untuk terus beralih ke dalam talian kerana mereka tidak ada masa untuk buat kertas soalan baru,” kata Tony.
Terdahulu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menggesa semua pemeriksaan akhir dibuat secara dalam talian kerana bimbang dengan peningkatan jangkitan varian Omicron Covid-19.
Mereka berkata, jumlah pelajar yang ramai di dewan peperiksaan akan meningkatkan risiko penularan.
Risiko terhadap pelajar, ibu bapa
Tony berkata sementara pelajar tidak ingin mengkritik universiti, mereka bimbang dengan keselamatan terutama bagi mereka yang tinggal di luar kampus.
“Mereka yang tinggal di kampus akan pulang ke hostel. Mereka secara relatif dikira selamat tetapi bagi mereka yang tinggal bersama ibu bapa di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor - ini adalah kalangan yang menyuarakan aduan kepada kami,” katanya.
Dia juga mendakwa wabak Covid-19 telah mula merebak di kalangan kenalannya dengan ada yang mula disahkan positif dan menjalani kuarantin sejak minggu lalu.
Dia juga mendakwa walaupun suhu dan status MySejahtera pelajar diperiksa sebelum masuk ke dewan, mereka tidak diwajibkan untuk membuat ujian kendiri.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menggesa orang ramai untuk bersama-sama membendung gelombang Omicron.
Katanya, berdasarkan model matematik pakar epidemiologi dan perangkawan, gelombang baru itu dijangka mencapai kemuncak pada akhir Mac.
Hari ini, ahli Parlimen Belia Malaysia Kiran Raj Sathivel menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar menilai semula sistem peperiksaan selaras dengan peningkatan kes.
“Kesihatan pelajar tidak boleh dikompromi. KPT perlu beri perhatian serius terhadap kesihatan pelajar dalam situasi wabak sekarang.
“Pelajar perlu diberi keutamaan untuk menjalani pemeriksaan secara dalam talian seperti sebelum ini,” kata Kiran.
Susulan perbincangan dengan KMUM, pihak universiti kini meluluskan pengecualian yuran kolej bagi mereka yang menjalani kuarantin kendiri di asrama.
Memo berhubung perkara itu dijangka akan diedarkan tidak lama lagi.
Satu petisyen dalam talian juga telah dimulakan oleh pelajar bagi menggesa peperiksaan akhir dibuat secara dalam talian.
Setakat ini, ia telah mengumpul lebih 3,000 tandatangan.
Petisyen itu turut menggesa pihak berkaitan agar membuat keputusan secepa mungkin, memandangkan peperiksaan akhir sudah pun bermula minggu ini.