Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin 'Team B' DAP Johor temui Chin Tong
Diterbitkan:  Jan 31, 2022 12:22 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

PRN JOHOR | Dua penyandang Adun dari DAP hari ini menyatakan hasrat mereka secara terbuka agar diberi ruang untuk mempertahankan kerusi masing-masing ketua ketua mereka, Liew Chin Tong.

Dalam kenyataan bersama pagi tadi, Adun Skudai, Tan Hong Pin, dan Ng Yak Howe (Bentayan) berkata mereka sudah menemui Liew untuk menyatakan hasrat berkenan.

Menurut mereka, sejak pembubaran DUN Johor, media, penyokong dan orang ramai telah bertanya sama ada mereka akan diturunkan semula atau sebaliknya.

"Kami berterima kasih atas keprihatinan anda. Beberapa hari lalu, kami bertemu dengan Liew dan menyatakan hasrat kami untuk mempertahankan kerusi sekarang," kata mereka.

Tan dan Ng menambah mereka berkongsi kebimbangan ahli akar umbi yang berharap kepimpinan parti akan memutuskan senarai calon secepat mungkin bagi memudahkan kempen pilihan raya.

Mereka juga berkata dengan keadaan tidak menentu di Skudai dan Bentayan, mereka akan menolak sebarang permintaan wawancara media "untuk mengelakkan masalah yang tidak perlu".

Dua Adun terbabit memberitahu misi DAP dalam pilihan raya Johor akan datang ialah untuk mempertahankan 14 kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum 2018.

“Menghadapi serangan kuat daripada BN, DAP tidak perlu membuang masa dan memulakan kempen dengan segera,” kata mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan mesyuarat khas pada 9 Feb untuk menetapkan tarikh PRN Johor.

Pada 24 Januari, akhbar Nanyang Siang Pau melaporkan lima penyandang Adun tidak pasti sama ada mereka akan diturunkan oleh DAP sekali lagi atau diganti dengan muka baru.

Selain Tan dan Ng, menurut laporan itu, tiga yang lain ialah Ee Chin Li (Tangkak), Cheo Yee How (Perling) dan Yeo Tung Siong (Pekan Nanas).

Hal itu kerana mereka disifatkan berada dalam kem yang berbeza daripada Liew selaku pengerusi DAP Johor.

Tan, Ee dan Cheo tewas dalam pemilihan DAP Johor pada Mei lalu, manakala Ng dan Yeo dipilih sebagai ahli jawatankuasa negeri tanpa sebarang portfolio penting.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS