Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Slogan Membangun Bersama Islam pada awalnya diperkenalkan pada era Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memerintah Kelantan. Ini adalah kali kedua PAS memerintah Kelantan selepas kali pertama tahun 1977. 

Persaingan merebut pengaruh politik berlaku antara PAS – yang diketuai Nik Aziz yang memimpin sebuah negeri, iaitu Kelantan – berdepan dengan Dr Mahathir Mohamad yang menerapkan idea penerapan Nilai-nilai Islam, yang memimpin sebuah negara membangun, iaitu Malaysia. 

Dr Mahathir ketika itu turut dibantu oleh timbalannya Anwar Ibrahim. Dikatakan Dr Mahathir membawa Anwar Ibrahim masuk ke dalam Umno dan kerajaan BN untuk membentengi pengaruh Islam yang semakin pesat bawah PAS. 

Idea-idea Islamisasi yang digerakkan oleh kedua-dua sosok (Nik Aziz mahupun Mahathir) bergerak rancak. Mahathir dengan kuasa yang ada padanya, mewujudkan Bank Islam, universiti Islam dan Jakim.

Bahkan menteri agama yang sering direbutkan aliran Islam di Malaysia, turut diwujudkan oleh Mahathir. 

Sementara Nik Aziz meskipun hanya sekadar memerintah negeri –hanya satu negeri oposisi –  terus cekal untuk mewujudkan idea-idea Islam yang lebih ‘syariat’, antaranya seperti hudud yang kontroversi. Gambar

Gambar hiasan

Bank Islam, universiti Islam digambarkan sebagai kosmetik atau superficial dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah PAS. 

Kesannya persaingan projek Islamisasi ini, Malaysia semakin hari semakin tepu kadar Islamisasiannya dan kian berlambak ulama atau agamawan melebihi keperluan.

Dalam bab hudud, Nik Aziz dan Mahathir saling berentap. Dikatakan Mahathir selaku pemerintah akan memberikan tindakan keras jika Nik Aziz melaksanakan hudud. 

Sementara itu dalam bab dinar emas, kedua-dua sosok ini seperti bersepakat secara tidak rasmi. 

Dikeranakan berkali-kali Kelantan tidak memilih Umno-BN dalam setiap kali PRU, maka Mahathir membalas keputusan rakyat Kelantan dengan tidak memberikan wang royalti petroleum. 

PAS kemudiannya sentiasa menggunakan alasan itu bila dikritik terhadap ketidakmajuan memerintah negeri tersebut. Walaupun dalam masa yang sama, tidak semua negeri di Malaysia mempunyai minyak.

Dan PAS teraba-raba tanpa arah sepeninggalan Nik Aziz. Perpecahan berlaku selepas itu yang mewujudkan Amanah. Dan PAS sepenuhnya didominasi oleh kaum agamawan, berbeza dengan sebelumnya iaitu golongan profesional, aktivis dan agamawan saling bergandingan.

Meskipun PAS masih memimpin Kelantan sehingga ke hari ini (32 tahun), tidak banyak pencapaian yang dapat dibanggakan hasil slogan Membangun Bersama Islam. Slogan itu nampaknya kekal retorik dan basi, sepertimana kebanyakan retorik kumpulan Islam di seluruh dunia. 

Air bersih

Untuk menyediakan air bersih pun, parti Islam yang memerintah Kelantan berpuluh tahun itu tidak mampu. Dikatakan hanya 71.7% penduduk Kelantan mendapat air bersih.

Kata Tuan Ibrahim Tuan Man, pemimpin PAS yang menjadi menteri alam sekitar dan air, masalah air di Kelantan hanya akan selesai dalam 30-40 tahun lagi.

Bagaimanakah kita boleh percayakan janji-janji manis ini, sedangkan selama 32 tahun PAS memerintah, mereka masih gagal menyediakan basic needs tersebut? Tempoh PAS memerintah Kelantan ialah tiga kali tempoh Nabi Muhammad memerintah Madinah. 

Tetapi kita belum mendengar nabi dan sahabat serta penduduk Madinah minum air kotor sepanjang pemerintahannya. Adakah ini cumalah sekadar satu janji dari beribu janji orang politik untuk terus memerintah? 

Selain itu kerajaan Islam itu juga tidak mampu menyediakan peluang ekonomi kepada rakyatnya sendiri, yang menyebabkan rakyatnya terpaksa merantau ke negeri-negeri lain. 

Dan untuk menampung ekonomi rakyat di dalam negeri, mereka juga terpaksa membalak hasil-hasil hutan.

Perhatian PAS pada ekologi sangatlah mengecewakan. Di kala dunia berdepan dengan climate change termasuk iklim yang begitu panas membahang, PAS masih kekal membalak. 

Hutan-hutan ditarah dan digondolkan. Kawasan penempatan Orang Asli dihancurkan. Dilaporkan serama tiga pemuda yang mewakili penduduk di dua perkampungan Orang Asli di Gua Musang memfailkan saman terhadap 14 entiti termasuk kerajaan Kelantan berkenaan isu pencerobohan tanah pusaka milik nenek moyang mereka.

Orang Asli Bateq di Kelantan, gambar hiasan

Sementara itu pula, negara-negara kafir di Barat, mereka mula beralih ke persekitaran yang lebih hijau –seperti hijaunya bendera PAS– dan PAS pula mahu meratakan hutan-hutan yang ada di negerinya untuk menjadi seperti negara padang pasir di tanah Arab. 

Tetapi PAS meskipun iklim dunia makin kuat membahang, mereka nampaknya lebih teruja atau masih ketagih dengan persoalan mengawal moral insani berbanding mengawal atau menghentikan kegiatan pembalakan dan mencari alternatif ekonomi baru.  

Dilaporkan kakitangan awam di Kelantan yang didapati berpakaian tidak menutup aurat khususnya bagi kakitangan wanita akan dikenakan tindakan.

Di Kelantan, melakukan perbuatan tidak sopan termasuk cara berpakaian boleh membawa hukuman denda RM1000 atau penjara enam bulan.

Terbaru bekas mufti Wilayah Persekutuan dilaporkan memberi pandangan tentang hukum makan penguin. 

Bekas mufti yang berasal daripada Pantai Timur (Terengganu) nampaknya tidak tertarik langsung untuk memberi komentar sepatah dua kata tentang harimau-harimau yang keluar bersiar-siar ke kawasan penempatan manusia selepas kawasan mereka dihancurkan. 

Beliau nampaknya lebih tertarik dengan penguin walaupun sehingga ke hari ini belum ada seekor pun penguin bertelur di Malaysia. 

Baru-baru ini di perkampungan orang asli Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan dilaporkan ada kelibat 11 ekor harimau belang yang berkeliaran di kawasan itu. 

Sebelum itu, awal tahun ini pada 7 Januari seorang lelaki Orang Asli Anek Along mati dibaham harimau dalam kejadian Kampung Sau, Pos Bihai. 

PAS nyatanya tidak mempedulikan langsung apa yang terjadi kepada Orang Asli pagan yang menghuni dalam kerajaan Serambi Mekah. 

Kerajaan Kelantan menegaskan tiada keperluan untuk menghentikan pembalakan. Kata Mohd Amar Nik Abdullah, timbalan menteri besar Kelantan, pembalakan di negeri itu bukan penyebab utama kejadian banjir.

Mohd Amar Nik Abdullah

Malah, katanya, kegiatan itu merupakan penyumbang kepada hasil negara. 

Perubahan iklim

Meskipun kita tidaklah boleh menyalahkan sepenuhnya kepada kerajaan Kelantan, kerana masalah perubahan iklim ini adalah masalah satu dunia, PAS selaku parti Islam dan mengatakan Islam adalah penyelesaian terhadap segala persoalan, harus memikirkan bagaimana hendak mengurangkan dampak perubahan iklim. 

Dilaporkan banyak kawasan akan tenggelam menjelang 2050, antaranya termasuk Jakarta dan beberapa kawasan di Malaysia, kerana paras air laut semakin naik. 

Menggondolkan hutan, menghancurkan habitat flora dan fauna, bukanlah kaedah yang baik sama ada untuk ekonomi mahupun ekologi. PAS harus mula mengajarkan atau belajar fikah ekologi kepada para ahlinya. 

PAS harus mengusahakan alternatif ekonomi yang lebih hijau antaranya seperti perlancongan juga dalam industri makanan – baik penternakan dan perladangan.

Jika tidak, slogan Membangun Bersama Islam itu akhirnya hanyalah indah khabar dari rupa atau jauh panggang dari api dan eloklah kita tukarkan kepada ‘Membalak Bersama Ulamak’.


BENZ ALI, seorang penjual buku sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS