Salah seorang anggota kabinet Ismail Sabri Yaakob yang banyak dikritik orang ramai ekoran kelemahan pengurusan bencana baru-baru ini tampil menjelaskan keadaan yang dialaminya.
Sebelum ini Rina Harun dikecam kerana berkasut tumit tinggi semasa hadir ke salah sebuah pusat pemindahan sementara (PPS).
Menjelaskan keadaan berkenaan, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata sebelum hadir di PPS terbabit dia menghadiri perhimpunan agung Bersatu.
Sebagai ketua wanita (Srikandi) Bersatu kebangsaan dia perlu hadir dalam majlis tersebut.
Malah kata Rina, semasa mesyuarat itu berlangsung dia menerima banyak laporan mengenai kejadian bencana sehingga menyebabkan hatinya tidak tenang.
Justeru kata ahli parlimen Titiwangsa itu dia membuat keputusan untuk melawat sekurang-kurangnya satu PPS selepas mesyuarat parti itu berakhir.
“Saya hanya berkesempatan menyalin baju saya saja, saya tukar baju saya.
"Saya sudah tak teringat pada kasut saya, kerana apa yang lagi penting pada saya ialah keberadaan saya di pusat tersebut untuk membantu dan menjaga kebajikan mangsa-mangsa banjir tersebut," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.
Apa sumbangan kepada mangsa
Rina berkata demikian pada majlis pelancaran Usahawan Wanita Bangkit Bersama 2021 Misi Rise Together di Quill Mall, Kuala Lumpur hari ini.
Hujan lebat pada Sabtu lalu menyebabkan banjir besar berlaku di beberapa lokasi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, dengan Taman Sri Muda, Shah Alam menjadi antara tempat yang teruk terjejas.
Turut mengalami kerosakan besar ialah kawasan petempatan di Hulu Langat.
Selain Selangor dan Kuala Lumpur, banjir juga berlaku di beberapa negeri lain termasuk Pahang dan Negeri Sembilan.
Setakat pagi tadi hampir 40 orang sudah disahkan meninggal dunia dan 10 lagi masih hilang.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Dis lalu mengakui berlaku kelemahan pada tindak balas kerajaan membantu orang ramai yang terkesan namun berjanji untuk menambah baik keadaan pada masa depan.
Kata Rina orang ramai diminta jangan salah faham dengan situasi tersebut dan tidak menilai dengan hanya melihat kepada sekeping gambar yang tersebar.
Keadaan sebenar, katanya, perlu dilihat secara menyeluruh.
Dia juga "meminta maaf" jika ada pihak melihat isu kasut berkenaan lebih penting berbanding kehadirannya di PPS terbabit.
"Saya berharap kita sebagai rakyat Malaysia, dalam suasana kita berada pada masa kini, agar kita turut membantu satu sama lain.
“Kita mudah mengata di platform media sosial, kita mudah menulis macam-macam perkara, tapi apakah sumbangan kita kepada mangsa-mangsa banjir?
"Jangan kita ingat kita berada di kawasan (selamat) ini, orang ramai yang susah kita lupakan,” katanya.