Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MKT Umno rasa 'dukacita' keputusan rayuan kes Najib
Diterbitkan:  Dec 9, 2021 9:07 PM
Dikemaskini: 1:07 PM

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyatakan rasa "dukacita" terhadap keputusan mahkamah melibatkan bekas presiden parti itu, Najib Razak, di Putrajaya semalam.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata parti itu berharap Najib akan diadili dengan saksama apabila kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Persekutuan selepas ini.

"Mesyuarat MKT Umno yang diadakan pada malam 8 Dis [...] telah membuat keputusan antara lain menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan rayuan kes Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Hal itu kerana, menurut Ahmad, "ramai beranggapan" kes mahkamah melibatkan beberapa tokoh yang dituduh selepas pilihan raya umum (PRU) lalu bermotifkan politik.

"Tanpa hilang rasa hormat kepada keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, MKT Umno berharap agar keputusan rayuan beliau (Najib) di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas PRU ke-14 adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik.

"Umno percaya sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi," katanya.

Untuk rekod MKT Umno mengadakan mesyuarat semalam dengan dipengerusikan presidennya Ahmad Zahid Hamidi namun kenyataan hanya dikeluarkan Ahmad pada hari ini.

Terima kasih untuk PRN Melaka

Semalam Najib gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Ahli parlimen Pekan itu didakwa atas tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) bernilai RM42 juta.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 kemudian memutuskan Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM120 juta. 

Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang kemudian sebulat suara memutuskan permohonan Najib itu ditolak

Bagaimanapun Najib sudah mengarahkan pasukan peguamnya untuk membawa kes tersebut ke mahkamah tertinggi di negara ini, iaitu Mahkamah Persekutuan.

Dalam kenyaaan sama Ahmad juga memberitahu Perhimpunan Agung Umno 2021 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Januari 2022 secara hibrid.

Ahli parlimen Pontian itu juga menyatakan Umno berterima kasih kepada semua jentera parti di pelbagai peringkat yang membantu memenangkan BN dalam pilihan raya negeri Melaka baru-baru ini.

"MKT berharap kepimpinan kerajaan Melaka yang baru dapat melaksanakan tugas sehabis baik bagi memastikan kemajuan rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS